Sabtu, 23 Januari 2021

KHILAF PERGERAKAN BIBIR KETIKA IQLAB DAN IKHFA’ SYAFAWI DI SISI ULAMA'.

 KHILAF PERGERAKAN BIBIR KETIKA IQLAB DAN IKHFA’ SYAFAWI DI SISI ULAMA'.

Terdapat khilaf di kalangan ulama’ Al Quran tentang keadaan dua bibir ketika Iqlab dan Ikhfa’ Syafawi.
KUMPULAN PERTAMA :
Caranya ialah dengan merapatkan bibir secara ringan yang disebut إِطْبَاقُ الشَّفَتَيْنِ. Allamah Thohir Ibnu Ghalbun (W399H) yang merupakan ulama’ besar Mesir pada zamannya menyebut di dalam kitabnya At-Tazkirah fi Al Qiraat At-Tsaman :
وَأَمَّا الِميمُ مَعَ البَاءِ فَهِيَ مُخْفَاةٌ لَا مُدْغَمَةٌ ، وَالشَّفَتَانِ أَيْضًا يَنْطَبِقَانِ مَعَهُمَاـ
Adapun mim ketika bertemu Ba’ (ikhfa’ Syafawi), maka ia hendaklah diikhfa’kan bukan diidghamkan. Dan dua bibir merapat ketika bersama pertemuan kedua huruf ini.
KUMPULAN KEDUA :
Caranya ialah dengan membuka sedkit lubang kecil di antara dua bibir (ابْقَاءُ الفُرْجَة) iaitu sekadar boleh dimasukkan sehelai kertas ke celahan dua bibir.
Syeikh Rizq Khalil Habbah (w1425H) yang merupakan Syeikh Umum Al Maqari’ di Mesir selepas Syeikh ‘Amir Usman berkata :
الانْفِرَاجُ أوْلَى، لِأَنَّنَا لَماَّ نُطْبِقُ الشَّفَتَيْنِ يَصِيرُ وَكَأَنَّهُ مُظْهَرٌ، فَالصَّوَابُ أَنْ يَكُونَ هُنَاكَ انْفِرَاجٌ خَفِيفٌ بَيْنَ الشَّفَتَينِ، لَيْسَ مُبَالَغًا فِيهِ حَتَى لَا تُضَيَّعَ صِفَةُ الحَرْفِ.
Merenggangkan bibir lebih utama. Ini kerana, apabila kita merapatkan bibir, berubahlah ia menjadi seakan-akan huruf yang diizharkan. Maka yang betulnya, ialah di sana adanya bukaan yang ringan/kecil di antara dua bibir tanpa berlebih-lebihan sehingga tidak diabaikan sifat huruf - Zad Al Muqriin.
PANDANGAN YANG LEBIH RAJIH
Pandangan yang paling tepat dan pegangan Jumhur ialah merapatkan bibir iaitu pandangan pertama. Saya menyebutkan hujah yang disebutkan oleh Syeikh Dr Aiman Suwaid dengan sedikit huraian menolak pendapat para ulama’ yang berpegang dengan pendapat membuka sedikit bibir :
1- Bacaan dengan cara ini (furjah) , tidak ada sandaran daripada kitab para imam (tajwid dan qiraat) atau contoh yang mereka datangkan.
Tidak ditemui Kitab Ulama’ Mutaqaddimin mengatakan adanya Furjah(bukaan kecil) ketika membaca Mim Maqlubah(Iqlab) atau Mim Mukhfah (Ikhfa’ Syafawi).
Jikalau ada sekalipun, ia dikarang oleh Ulama’ kontemporari. Ahli Tajwid dan Qiraat zaman ini sepakat mengatakan bahawa guru paling awal yang mengutarakan pandangan ini ialah Syeikh ‘Amir Sayyid Usman, Syeikh Maqari’ Mesir pada zamannya dengan ijtihad dan Qias beliau. Pada pandangan beliau, jika ditutup kedua bibir, hukum telah bertukar menjadi Izhar bukan lagi Ikhfa’. Mudah mudahan Allah merahmati Syeikh.
Tetapi hakikat yang perlu kita fahami seperti yang disebut oleh Dr Aiman Suwaid : "Al Quran dibina atas talaqqi bukan qias". Maksudnya ia adalah sunnah muttabaah(sunnah yang diikuti) dari satu generasi kepada generasa yang lain. Jika generasi awal mengajarkan satu cara, maka kita akan mengikut cara yang diajarkan tanpa sebarang ijtihad dan qias. Tidak seperti ilmu feqah dan sebagainya yang terbuka ruang pandangan dan ijtihad.
KENAPA PENDAPAT INI MASYHUR :
Pendapat ini menjadi masyhur kerana Syeikh merupakan ketua pemilih Qari yang akan membaca di Radio Mesir. Antara Qari yang dipilih ialah Syeikh Mahmud Khalil Husori, Syeikh Abdul Basith Abdul Samad dan Syeikh Muhammad Siddiq Minsyawi. Syeikh mengarahkan para Qari membaca mengikut pendapatnya dan mengulang rakaman jika bacaan tidak seperti yang dikehendaki. Ini disebut oleh Syeikh Abdul Basith bin Abdul Samad sendiri.
Apapun, Allah telah memuliakan Syeikh ‘Amir bin ‘Usman atas kesungguhan menyebar dan menyampaikan Al Quran dengan kewafatan Husnul Khatimah.(Sila rujuk post saya yang lebih awal. Saya memuatkan bacaan Syeikh dan cerita kewafatannya).
2- Ia melanggar kaedah Bahasa Arab :
كُلُّ عُدُولٍ عَنِ الإِظْهَارِ اِلَى غَيْرِهِ عُدُولٌ اِلَى الأَسْهَلِ
Setiap pemalingan dari Izhar kepada selainnya ialah pemalingan ke arah yang lebih mudah.
Kaedah ini bermaksud:
Asal pada pertemuan dua huruf (التقاء الحرف ) ialah Izhar. Dan Izhar ini adalah hukum yang paling sukar dan berat.
Sebarang perpindahan dari Izhar kepada hukum yang lain samada kepada Iqlab, Idgham, atau Ikhfa’ membawa makna berpindah kepada sesuatu yang lebih ringan. Cuba anda Izharkan hukum ikhfa’ pada (من جوع), nescaya lidah anda terasa tidak selesa. Cuba pula anda sebutkan kalimah (أنبياء ) dengan Izhar. Sudah pasti lidah terasa berat. Jelas di sini, yang paling sukar ialah Izhar. Apabila orang arab terasa berat (Tsiql), bacaan dan sebutan akan berubah dari Izhar kepada selain Izhar.
Maka, yang pentingnya di sini. apabila ulama’ dahulu menyebut hukum Ikhfa’ (Syafawi) pada pertemuan mim mati dan ba’, tidak mungkin mereka memaksudkan istilah hukum yang lebih sukar dari ikhfa' iaitu Izhar (syafawi).
3- Tiada sanad periwayatan.
Inilah sebenarnya hujah yang paling kuat. Para pengkaji sanad, mendapati sanad bacaan ‘Furjah’ terhenti pada Syeikh Muhammad Ali Ad Dhobba’ dengan maksud Syeikh Muhammad Ali Ad Dhobba' adalah yang terakhir membaca dan mengajar dengan rapat bibir di kalangan Ulama' Quran Mesir. Selepas itu mula masyhur pendapat me renggang bibir yang dibawa Syeikh Amir Sayyid Usman. Boleh merujuk karangan atau Tahqiq Syeikh Farghali Sayyid ‘Arbawi.
Dr Yahya Abdul Razzaq Al Ghautsani menyebut :
Aku telah bertanya para Ulama’ besar zaman ini tentang perenggangan bibir , maka semua menjawab kepadaku bahawa mereka membaca dengan guru-guru mereka dengan Ithbaq (merapatkan bibir).
Sebagai contoh Syeikh Ahmad bin Abdul Aziz Az Zayyat, pemilik sanad tertinggi di Mesir (ketika itu) yang ketika itu telah melepasi umur 90 tahun. Aku ketika bermusyafahah di rumahnya di Madinah al Munawwarah selepas membaca Surah Al Fatihah, aku bertanya tentang perenggangan bibir ketika mim bertemu Ba’ dan beliau berkata :
لَمْ نَعْهَدْ ذَلِكَ فِي مَشَايِخِنَا وَلَمْ نَكُنْ نَسْمَعْ عَنْهُ مِنْ قَارِئٍ مُعْتَبَرٍ مِنْ قُرَّاءِ الأَزْهَرِ , وَلَا أَعْرِفُ أَحَدًا قَالَ بِهِ إِلَّا بَعْضَ القُرَّاءِ المُعَاصِرِينَ مِنْ بِضْعَةٍ وَعِشْرِينَ سَنَةً تَقْرِيبًا , وَلَمْ نَقْرَأْ عَلَى شُيُوخِنَا إِلَّا بِالإِطْبَاقِ...
Kami tidak pernah mendapatinya dari guru guru kami, dan tidak pernah juga kami mendengarnya daripada mana-mana Qari Muktabar dari Ahli-ahli Quran Al Azhar dan aku tidak ketahui seorang pun yang berkata dengannya melainkan sebahagian Qurra’ pada zaman ini sekitar 20 tahun lebih kebelakangan ini. Dan kami tidak pernah membaca dengan guru-guru kami melainkan dengan merapatkan kedua-dua bibir.
Begitu juga beliau (Dr Yahya Abdul Razzaq Al Ghautsani) telah bertanya kepada Syeikh Hussain Khattab, Syeikh Kurayyim Rajih, Syeikh Abu Al Husain Al Kurdi, Syeikh Muhammad Adil Al Himshi, Syeikh Muhammad Kalal At Thahhan dan selain mereka. Dan semuanya menjawab bahawa mereka membaca dengan Ithbaq.
Bahkan beliau menaqalkan bahawa ini ialah pilihan Syeikh Mahmud Khalil Husori, Syeikh Mahmud Ali Al Banna, Syeikh As Sya’sya’i, Syeikh Muhammad Rif’at, bahkan Syeikh ‘Amir bin Usman sendiri.
Syeikh Muhammad Salahuddin Kabbarah, Syeikh Muqri’ di Thorablis, Lubnan bercerita bahawa dia telah membaca di hadapan Syeikh ‘Amir Usman tujuh Qiraat dengan merapatkan dua bibir pada Mim Maqlubah (Iqlab) dan Mim Mukhfah (Ikhfa’ Syafawi) kemudian pulang ke Lubnan. Beberapa tahun kemudian, beliau kembali ke Mesir untuk membaca tiga Qiraat yang berbaki, tiba-tiba Syeikh ‘Amir memintanya merenggangkan bibir.
Maksudnya ada dua fasa dalam hidup Syeikh. Awalnya, beliau berpegang dengan pandangan merapatkan bibir dan itulah talaqqinya dengan guru-gurunya , kemudian beliau mengubah pandangan beliau kepada bacaan furjah dengan Ijtihadnya.Kemudian, ada pendapat mengatakan Syeikh menarik balik ijtihadnya. Wallahu A’lam.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

الحمدلله الله اكبر
TOLONG SHARE KEPADA ORANG LAIN SEMOGA MANFAAT DAN MISI BANTERAS BUTA AL-QURAN INI MENDAPAT SAMBUTAN DARI UMAT ISLAM.. INSYAALLAH.. آمين‎
💖 BANTU KAMI 🙏 🇲🇾 TEKAN BUTANG LIKE 👍 DAN SHARE📢📢
جزاك الله

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.