Sabtu, 23 Januari 2021

 ADAKAH SEBUTAN IQLAB DAN IKHFA' SYAFAWI ADALAH SAMA?

Jawapannya ya walaupun terdapat perbezaan dalam beberapa sudut yang lain.
Cuba pula sebut ‘Anbiya’. Jika anda teliti, anda sebenarnya menyebut ‘Ambiya’. Hakikatnya, lidah lebih ringan menukarkan nun menjadi mim apabila nun itu bertemu ba'. Cuba pula anda dengungkan dua keratan ini :
أْن بُورِكَ ويَعْتَصِم بِاللهِ
Saoalan saya , adakah sama cara sebutannya atau tidak? Jawapannya sama. Jika anda memilih untuk merapatkan bibir, maka anda akan merapatkan bibir pada Iqlab dan Ikhfa' Syafawi. Dan jika anda bertalaqqi dengan cara merenggangkan sedikit bibir, maka itulah yang anda lakukan pada iqlab dan Ikhfa' Syafawi.
Perkara paling penting tentang Iqlab yang patut anda faham ialah walaupun yang tertulis di dalam Mushaf ialah nun mati/tanwin bertemu ba’, tetapi hakikat sebutannya ialah mim mati bertemu ba’ seperti Ikhfa’ Syafawi. Mim itu dipanggil Mim yang ditukar dari nun (ميم منقلبة عن النون ) dan mim mati pada ikhfa’ syafawi adalah mim asli (ميم اصلية).
Al Imam Ibnu Al Jazari menyebut di dalam An Nasyrnya :
وَأَمَّا الحُكْمُ الثَّالِثُ وَهُوَ (القَلْبُ) فَعِنْدَ حَرْفٍ وَاحِدٍ وَهِيَ البَاءُ فَإِنَّ النُّونَ السَّاكِنَةَ وَالتَّنْوِينَ يُقْلَبَانِ عِنْدَهَا مِيمًا خَالِصَةً مِنْ غَيْرِ إِدْغَامٍ وَذَلِكَ نَحْوُ (أَنبِئهُمْ، وَمِن بَعْدِ، وصُمٌّ بُكْم) وَلَا بُدَّ مِنْ إِظْهَارِ الغُنَّةِ مَعَ ذَلِكَ فَيَصِيرُ فِي الحَقِيقَةِ إِخْفَاءَ المِيمِ المَقْلُوبَةِ عِنْدَ البَاءِ فَلَا فَرْقَ حِينَئِذٍ فِي اللَّفْظِ بَيْنَ (أْن بُورِكَ ، وبين: يَعْتَصِم بِاللهِ) إِلَّا أَنَّهُ لَمْ يَخْتَلِفْ فِي إِخْفَاءِ الِميمِ وَلَا فِي إِظْهَارِ الغُنَّةِ فِي ذَلِكَ...
“Dan adapun hukum ketiga(dari hukum Nun Sakinah dan Tanwin) ialah Qalb (Iqlab) ketika bertemu huruf yang satu iaitu ba’ kerana Nun mati dan tanwin akan ditukarkan ketika itu (ketika bertemu huruf Ba’) menjadi Mim yang jelas tanpa idgham. Ini adalah seperti :
أَنبِئْهُمْ - وَمِن بَعْد - وصُمٌّ بُكْمٌ
Dan tidak dapat tidak, mesti menzahirkan( menjelaskan) dengung bersamanya, maka jadilah ia pada hakikatnya Ikhfa’ Mim yang ditukar (dari nun) ketika bertemu Ba’. Maka tidak ada beza ketika itu di antara lafaz :
أْن بُورِكَ - وَ يَعْتَصِم بِاللهِ
melainkan lafaznya sama tidak berbeza pada ikhfa’ mim dan pada menzahirkan dengung”.
أْن بُورِكَ - أَم بُورِكَ
Jadi jelas, setelah nun mati ditukarkan kepada bunyi mim, hukumnya ketika itu ialah hukum Ikhfa’ Syafawi iaitu hukum mim mati bertemu ba’.
Ini juga disebut di dalam Kitab kitab Tajwid dan Qiraat yang lain seperti oleh Nab'u Ar Rayyan karangan Syeikh Abu Al Haitsam Muhammad Ali Mathr dan pernah dihuraikan dan di Syarah dalam satu rakaman audio oleh Syeikh Umum Maqari' Mesir pada zamannya, Syeikh Rizq Khalil Habbah.
Saya akan tulis perbezaan ulama' pendapat sesudah tulisan ini.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

الحمدلله الله اكبر
TOLONG SHARE KEPADA ORANG LAIN SEMOGA MANFAAT DAN MISI BANTERAS BUTA AL-QURAN INI MENDAPAT SAMBUTAN DARI UMAT ISLAM.. INSYAALLAH.. آمين‎
💖 BANTU KAMI 🙏 🇲🇾 TEKAN BUTANG LIKE 👍 DAN SHARE📢📢
جزاك الله

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.