BERAPA JUMLAH SEBENAR TINGKATAN BACAAN?
Soalan ini pernah ditimbulkan seorang lepasan Shoubra, Mesir. Jadi saya tolong cari. Semoga ada manfaat terutama untuk guru-guru Al Quran.
Syeikh Aiman Ahmad Ahmad Said, Syeikh Muqri’ di Masjid Al Nabawi menyebutkan bahawa di dalam kitab-kitab tajwid hari ini disebutkan dua pendapat.

Terdapat tiga tingkatan iaitu Tartil, Hadar dan Tadwir.

Terdapat 4 tingkatan iaitu Tartil, Hadar, Tadwir dan ditambah satu iaitu Tahqiq.
Lalu katanya lagi, menyimpulkan :
والصَّوابُ إن شَاءَ اللَّهُ أَنَّ التَرْتِيلَ يُشْمِلُ التَّحْقِيقَ وَالحَدْرَ وَالتَّدْوِيرَ، فَكُلُّ مَنْ يَقْرَأُ بِهَذِهِ المَرَاتِبِ الثلَاثِ مُؤْتَمَرٌ بِقَوْلِهِ تَعَالىَ: ((وَرَتِّلِ القُرْآنَ تَرْتِيلًا)).
Yang benar In sya Allah bahawasanya tartil itu merangkumi tahqiq, hadr, dan tadwir. Maka setiap yang membaca dengan tingkatan yang tiga ini (tahqiq, hadr dan tadwir) adalah terhimpun pada firman Taala “ وَرَتِّلِ القُرْآنَ تَرْتِيلًا". Bacalah Al Quran dengan tartil.

Saya berpendapat bahawa apa yang disebutkan Syeikh Aiman Ahmad Ahmad Said itu adalah pendapat yang paling tepat iaitu tingkatan bacaan hanya 3 iaitu tahqiq, hadr dan tadwir. Dan semua itu mencakupi makna tartil. Dalilnya:

وَيُقْرَأُ الْقُرْآنُ بِالتَّـحْقِيقِ مَعْ حَدْرٍ وَتَدْوِيرٍ وَكُلُّ مُتَّبَعْ
مَعْ حُسْنِ صَوتٍ بِلُحُونِ الْعَرَبِي مُرَتَّلاً مُجَوَّداً بِالْعَرَبِي
Dan dibaca Al Quran itu dengan Tahqiq, bersama Hadr dan Tadwir, dan semuanya diikuti #
Bersama suara yang baik dengan lahjah arab secara tartil , bertajwid dan dengan Bahasa Arab #


فَالتَّرْتِيلُ صِفَةٌ لِلقِرَاءَةِ المُلْتَزَمَةِ بِأَحْكَامِ التَّجْوِيدِ فِي جَمِيعِ هَذِهِ المَرَاتِبِ الثَّلَاثِ
Maka Tartil adalah sifat bagi bacaan yang dilazimi dengan (menjaga) hukum-hakam tajwid pada semua tingkatan yang tiga ini.



Pun begitu, kita sangat menghormati pandangan ulama lain yang mengatakan bahawa tartil adalah salah satu martabat bacaan. Di antara mereka ialah Syeikh Usman bin Sulaiman Murad, Syeikh Mahmud Ra’fat Muhammad Zalth, Syeikh Kamil Muhammad Al Masiri dan selain mereka.