Memaparkan catatan dengan label TARJI'. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label TARJI'. Papar semua catatan

Ahad, 2 Mei 2021

TARJI’ DAN HUKUMNYA

 TARJI’ DAN HUKUMNYA

Syeikh Abdul Rahman Sudais melakukan Tarji’ pada ولا الضالين. Syeikh Mahir Muayqili dan Syeikh Yasir Ad Dusuri melakukan Tarji’ hampir di seluruh bacaan mereka. Hatta Syeikh Mustofa Ismail dan barisan Qari besar Mesir melakukannya.Tetapi, anda perlu tahu, kebanyakan Ulama’ al Quran Syiria sangat tidak sukakan Tarji’. Sehingga sebahagian mereka memberi fatwa bahawa semua ulama’ menolak Tarji’ (اتفق أهل الأداء على منع الترجيع). Persoalannya, apa itu Tarji’ ?.
TARJI’ DI DALAM BACAAN
Dr Nasir bin Suud Al Qutsami di dalam kitabnya Mafhum At Tarji’ menyebutkan pandangan Imam Ibnu Katsir tentang makna Tarji’:
التَّرْجِيعُ التَّرْدِيدُ فِى الصَّوْتِ
Tarji' : Turun naik (nada) suara.
Al Hamazani pula menyebutkan :
التَّرْجِيعُ تَكْرِيرُ الصَّوتِ بِالمَدِّ, رَجَّعَ الرُّجُلُ فِى قِرَاءَتِهِ إِذَا كَرَّرَ صَوتَهُ بِالمَدِّ.
“Tarji’ ialah menaik nurunkan nada ketika bertemu Mad. (dikatakan) lelaki itu mentarji’kan bacaannya apabila dia mengulang-ulang (merendah serta meninggi suara) pada mad ”.
Huraian : Mudahnya, TARJI’ ialah turun naik nada suara dan bunga-bunga suara.
DALIL TARJI’
Dalilnya yang paling kuat ialah hadis yang diriwayatkan Al Bukhari dari Abdullah bin Mughaffal yang berkata:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْفَتْحِ عَلَى نَاقَةٍ لَهُ يَقْرَأُ سُورَةَ الْفَتْحِ أَوْ مِنْ سُورَةِ الْفَتْحِ فَرَجَّعَ فِيهَا .
Kata Abdullah bin Mughaffal : Aku melihat Rasulullah pada hari pembukaan Mekah berada di atas untanya membaca Surah Al Fath dan melakukan tarji’ padanya.
Huraian : Suara Nabi dinaik dan diturunkan ketika membaca Surah Al Fath. Nabi membaca tidak hanya senada. Ini adalah untuk emjinakkan hati Musyrikin dengan bacaan Al Quran yang baik.
Sebahagian ulama’ tidak bersetuju hadis ini menjadi dalil Tarji’ . Mereka mengatakan bahawa, berlakunya tarji’ di sini adalah kerana goyangan unta. Bukan Nabi yang ‘menggoyangkan’ suaranya tetapi kerana kesan gegaran dari unta menyebabkan suara Nabi bergegar.
JAWAPAN :
Kita menolak pandangan ini kerana:
1- Terdapat hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah di dalam Musannafnya bahawa Ummu Hani’ RA mendengar Nabi membaca Al Quran di rumah dengan tarji’. Hadis ini dihasankan Syeikh al Albani. Jelas di sini, ketika berada di rumah pun Nabi melakukan Tarji’.
2- Ketika menafsirkan hadis Abdullah bin Mughaffal di atas, ramai ulama’ cenderung mengatakan Nabi memang melakukan Tarji’. Dr Nasir bin Suud Al Qutsami menyebut :
Ramai di kalangan Para ulama’ cenderung mengatakan bahawa Tarji’ yang terdapat di dalam Hadis membawa makna berlagu di dalam pembacaan, memperindahkan suara dan menghiasinya, melagukannya dan mengulang alikkannya di kerongkong dan ia adalah satu jenis dari jenis jenis berlagu yang diperintahkan atau satu sifat dari sifat-sifatnya dan Nabi memang sengaja melakukannya(bukan kerana goyangan unta).
Menguatkannya hadis riwayat An Nasaie di mana Abdullah bin Mughaffal berkata : “ Rasulullah membaca Surah al Fath pada hari pembukaan Mekah, dan aku tidak menemui satu bacaan yang lebih baik darinya, dia melakukan Tarji’”.
Dari apa yang saya telah huraikan, jelas bahawa Tarji’ adalah perkara yang baik dan sunnah Rasulullah. Pun begitu, nasihat saya untuk diri dan semua :
1- Pembaca perlu berhati-hati dan tidak berlebihan melakukan Tarji’ sehingga terlebih harakat. Jika ia berlaku, maka ia bertukar menjadi tarqish(الترقيص) yang dilarang.
2- Adalah lebih baik bacaan kita tidak terlalu berbunga bunga yang keterlaluan kerana itu ghuluw dalam bacaan.




Hanif azmir bin Hassim Nibong Tebal 3 Mei 2021.