Sabtu, 23 Januari 2021

Hukum membaca Surah Al Fatihah di dalam solat dengan mendatangkan saktah (سكتة) sebagai pengganti waqaf (وقف)

 PERBINCANGAN TAJWID: Hukum membaca Surah Al Fatihah di dalam solat dengan mendatangkan saktah (سكتة) sebagai pengganti waqaf (وقف) pada hujung setiap ayatnya. Mohon maaf agak panjang. Ini jawapan saya edisi kemas kini.

MAKSUD SAKTAH
Pengarang Taisir Ar Rahman fi tajwid Al Quran menyebut :
قَطْعُ الصَوْتِ عَلَى الحَرْفِ القُرْآنِىِّ زَمَنًا يَسِيرًا مِنْ غَيْرِ تَنَفُّسٍ حَالَ الوَصْلِ بِنِيَّةِ اسْتِمْرَارِ القِرَاءَةِ.
Memutuskan suara pada huruf Quran seketika tanpa bernafas hal keadaan wasal dengan niat meneruskan bacaan.
Penting : Saktah berbeza dengan waqaf dari sudut tarikan nafas(تَنَفُّس). Jika berlaku tarikan nafas, itu dipanggil waqaf. Tetapi jika tidak berlaku tarikan nafas, itu ialah saktah.
Terdapat dua kemungkinan hukum di sini :
✒ PENDAPAT PERTAMA : HARAM DAN BERDOSA .
Jika kita berpegang kepada pendapat yang mengatakan TIDAK HARUS SAKTAH PADA HUJUNG AYAT, maka hukum orang yang mensaktahkan hujung setiap ayat dan menyambung dengan ayat yang seterusnya adalah berdosa kerana :
1-Dia membaca sesuatu yang tidak diriwayatkan sedangkan Al Quran adalah sunnah yang diikuti ( سُنَّةٌ مُتَّبَعَةٌ ). Tidak ditambah dan tidak dikurang. Begitu juga jika ada riwayat tetapi tidak kuat sandarannya.
2-Pembaca mendatangkan sesuatu pelik(غريب) ‘tidak wasal dan tidak waqaf’ atau lebih mudah untuk difahami ‘tidak sambung dan tidak berhenti’.
Hendak dipanggil wasal(sambung), suara diberhentikan dengan kaedah waqaf iaitu dengan mematikan huruf berbaris. Contohnya الرَّحِيمِ dibaca الرَّحِيمْ dan الْعَالَمِينَ dibaca الْعَالَمِينْ. Di sini, telah berlaku kesalahan nyata yang disebut ( لحن جلى ) iaitu mematikan huruf yang berbaris sedangkan dia wasal. Lihat Hidayatul Qari oleh Al Murshofi.
Hendak dipanggil waqaf juga tidak tepat kerana waqaf tanpa tarikan nafas tidak dipanggil waqaf. Ibnu Al Jazari ketika menghuraikan makna waqaf, menyebut وَلَا بُدَّ مِنَ التَّنَفُّسِ مَعَهُ maksudnya : "tidak dapat tidak bersama waqaf itu tarikan nafas".
✒ PENDAPAT KEDUA : HARUS DAN TIDAK BERDOSA .
Jika kita berpegang dengan pendapat yang mengatakan HARUS SAKTAH PADA HUJUNG AYAT, maka hukum mensaktahkan hujung setiap ayat dan menyambung dengan ayat yang seterusnya adalah harus. Antara dalilnya :
1-Imam Ibnu Al Jazari ada menyebut pendapat Ibnu Sa’dan dan Ibnu Mujahid tentang harusnya saktah di hujung ayat. Sila rujuk An Nasyr Fi Al qiraat Al ‘Asyr.
وذَهَبَ ابْنُ سَعْدَانِ فِيمَا حَكَاهُ عَنْ أَبِي عَمْرٍو، وَأَبُو بَكْرٍ بْنُ مُجَاهِدٍ فِيمَا حَكَاهُ عَنْهُ أَبُو الفَضْلِ الخُزَاعِيُّ إِلَى أَنَّهُ جَائِزٌ فِي رُؤُوسِ الآيِ مُطْلَقاً حَالَةَ الوَصْلِ لِقَصْدِ البَيَانِ.
“Dan Ibnu Sa’dan berpendapat dari apa yang dia sandarkan kepada Abu ‘Amru, Dan begitu juga Abu Bakar bin Mujahid berpendapat seperti yang diceritakan oleh Abu Al Fadhl Al Khuza’ie, bahawa ianya(saktah) harus pada hujung ayat secara Muthlaq(tanpa ada syarat dan kait) ketika wasal dengan niat menjelaskan(البيان) itu hujung ayat”.
2-Syeikh Ibrahim Eit Waghuri ketika mentahqiq kitab ‘Arf An Nad menyebutkan satu kesalahan penting iaitu (إِجْرَاءُ الوَصْلِ مَجْرَى الوَقْفِ) sambil menjelaskan makna tajuk :
وَذَلِكَ بِتَسْكِينِ الُمتَحَرِّكِ مِن غَيْرِ قَطْعِ الصَّوْتِ وَلَوْ بِمُجَرَّدِ السَّكْتِ
(Kesalahan) ini ialah dengan menukarkan huruf yang berbaris kepada huruf mati tanpa memutuskan suara walau dengan semata-mata saktah.
Contohnya : mensukunkan huruf Ba’ لَا رَيْبْ فِيهِ هُدًى dan menyambung terus kepada Huruf Fa’.
Apa yang penting untuk diteliti ialah takrifnya ‘walau semata-mata saktah’. Jelas di situ Syeikh Ibrahim Eit Waghuri mengeluarkan pembaca yang membaca dengan saktah pada hujung perkataan dari jumlah mereka yang melakukan kesalahan ini. Ini juga menggambarkan bahawa Syeikh mengiktiraf kewujudan pendapat yang membolehkan saktah pada hujung ayat . Inilah apa yang berlaku di dalam bacaan al Fatihah sebahagian pembaca, di mana dia menyambung beberapa ayat dengan saktah pada setiap hujung ayat.
KESIMPULAN :
Pendapat pertama, adalah lebih kukuh dalilnya tetapi pendapat kedua lebih dekat dengan masalah yang dibincangkan. Saya sendiri lebih cenderung kepada pandangan kedua. Apapun yang penting, kita cuba mengelak dari melakukan kesalahan yang sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

الحمدلله الله اكبر
TOLONG SHARE KEPADA ORANG LAIN SEMOGA MANFAAT DAN MISI BANTERAS BUTA AL-QURAN INI MENDAPAT SAMBUTAN DARI UMAT ISLAM.. INSYAALLAH.. آمين‎
💖 BANTU KAMI 🙏 🇲🇾 TEKAN BUTANG LIKE 👍 DAN SHARE📢📢
جزاك الله

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.