Jumaat, 29 Januari 2021

KALIMAH (بِأَيۡيْدٍ) SURAH AD DZARIYAAT DITULIS DENGAN DUA YA’. KENAPA?

 KALIMAH (بِأَيۡيْدٍ) SURAH AD DZARIYAAT DITULIS DENGAN DUA YA’. KENAPA? 


🔶 Syeikh Muhammad Syamlul di dalam I’jaz Rasm Al Quran ada menyebut :


Seperti apa yang telah kami sebutkan, sesungguhnya penambahan pada binaan menunjukkan penambahan pada makna. Adakah di sana sesuatu yang lebih dahsyat dari penciptaan langit. (Firman Allah) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)! An Nazi'aat :27. Sesungguhnya penambahan huruf Ya’ pada kalimah ‘بِأَيۡيْدٍ’  memperjelaskan tentang kekuatan dan kehebatan langit dan kekukuhan pembinaannya. 


Petikan teks arabnya :


كَمَا سَبَقَ أَنْ ذَكَرْنَا فَإِنَّ زِيَادَةَ المَبْنَى يَدُلُّ عَلَى زِيَادَةِ االمَعْنَى فَهَلْ هُنَاكَ أَشَدُّ مِنْ خَلْقِ السَّمَاءِ؟ أَأَنْتُمْ أَشَدُّ خَلْقًا أَمِ السَّمَاءُ ۚ بَنَاهَا (النازعات : 27) .إِنَّ  زِيَادَةَ حَرْفٍ "ي" فِى كَلِمَةِ بِأَيۡيْدٍ يُوَضِّحُ قَوَّةَ وَشِدَّةَ السَّمَاءِ وَمَتَانَةَ سَمْكِهَا وَبِنَائِهَا..


🔶 HURAIAN :


Ada tiga ayat Al Quran, yang menggunakan lafaz (أَيْدٍ). Dua yang awal iaitu ayat 195 Surah Al A’raaf dan ayat 17 Surah Shod lebih kepada maksud tangan dan kekuatan manusia. 


Adapun (أَيْدٍ) pada Surah Ad Dzariyaat bermaksud kekuatan Allah. Maka kerana itu, diletakkan dua ya’. Jadi, hikmahnya untuk membezakan kekuatan makhluk dan kekuatan Pencipta. Cuba anda teliti ayat-ayat di bawah dan fahami yang saya sebutkan tadi :


AYAT 1 :


أَلَهُمْ أَرْجُلٌ يَمْشُونَ بِهَا ۖ أَمْ لَهُمْ أَيْدٍ يَبْطِشُونَ بِهَا ۖ أَمْ لَهُمْ أَعْيُنٌ يُبْصِرُونَ بِهَا ۖ أَمْ لَهُمْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا ۗ قُلِ ادْعُوا شُرَكَاءَكُمْ ثُمَّ كِيدُونِ فَلَا تُنْظِرُونِ.


Apakah berhala-berhala mempunyai kaki yang dengan itu ia dapat berjalan, atau mempunyai tangan yang dengan itu ia dapat memegang dengan keras, atau mempunyai mata yang dengan itu ia dapat melihat, atau mempunyai telinga yang dengan itu ia dapat mendengar? Katakanlah: "Panggillah berhala-berhalamu yang kamu jadikan sekutu Allah, kemudian lakukanlah tipu daya (untuk mencelakakan)-ku. tanpa memberi tangguh (kepada-ku)". Al A’raaf : 195.


AYAT 2:


      اصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَاذْكُرْ عَبْدَنَا دَاوُودَ ذَا الْأَيْدِ ۖ إِنَّهُ أَوَّابٌ


Bersabarlah atas segala apa yang mereka katakan; dan ingatlah hamba Kami Daud yang mempunyai kekuatan; sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhan). Shod:17.


AYAT 3 :


                وَٱلسَّمَآءَ بَنَيۡنَٰهَا بِأَيۡيْدٍ وَإِنَّا لَمُوسِعُونَ


Dan langit Kami bangun dengan kekuasaan (Kami), dan Kami benar-benar meluaskannya. Az Dzariyaat : 47.


🔶 Adapun Al Imam Abu ‘Amru Ad Dani berpendapat sebaliknya. Baginya, peletakan dua ya’ adalah untuk membezakan di antara dua makna (أَيْدٍ) iaitu ‘kekuatan’ dan ‘tangan’.. Imam Ad Dani menyatakan bahawa perkataan (أَيْدٍ) di dalam Surah Adz Dzariyaat tersebut bermaksud ‘kekuatan’. Ini berbeza dengan kalimah (أَيْدٍ) pada sebahagian tempat lain yang bermaksud tangan. Maka untuk membezakannya ditulis dengan dua ya’. Rujuk At Thiraz fi Dhobtil Kharraz. Huraiannya sangat Panjang, jadi bagi ahlinya, rujuklah.


Cuma apa yang tidak kurang pentingnya untuk disentuh  ialah apa yang disebut oleh Imam

Ad Dani adalah sesuai dengan huraian ahli tafsir, yang menyatakan maksud ‘بِأَيۡيْدٍ’ di dalam Surah Ad Dzariyaat bermaksud ‘kekuatan’ bukan 'tangan' .


🔹 Al Imam Al Baghawi menyebut di dalam tafsirnya Maalim At Tanzil:


           (وَالسَّمَاءَ بَنَيْنَاهَا بِأَيْدٍ) أي:بِقُوَّةٍ وَقُدْرَةٍ


Dan langit Kami bangun dengan أَيْدٍ (Kami) iaitu dengan kekuatan dan qudrah.


🔹 Al Imam Ibnu al Jauzi di dalam Zadul Masirnya menyatakan bahawa inilah pendapat Ibnu Abbas, Mujahid, Qatadah dan hampir keseluruhan ahli tafsir dan ahli bahasa. Wallahu a’lam- Abu Adil Al Qadahi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

الحمدلله الله اكبر
TOLONG SHARE KEPADA ORANG LAIN SEMOGA MANFAAT DAN MISI BANTERAS BUTA AL-QURAN INI MENDAPAT SAMBUTAN DARI UMAT ISLAM.. INSYAALLAH.. آمين‎
💖 BANTU KAMI 🙏 🇲🇾 TEKAN BUTANG LIKE 👍 DAN SHARE📢📢
جزاك الله

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.