Isnin, 8 Mac 2021

MAD TA’ZHIM ( مد التعظيم )

 MAD TA’ZHIM ( مد التعظيم )

Pandangan saya, jika kita mengarang kitab Tajwid mengikut Riwayat Hafs ‘an Ashim thoriq Syatibi iaitu baca harian kita sekarang atau kita mengajarnya, adalah lebih baik kita meninggalkan perbincangan MAD TA’ZHIM. Ini kerana, istilah Mad Ta’zhim tidak digunakan di dalam bacaan kita. Cukup mengenalnya sebagai Mad Jaiz Munfasil. Apa yang disebut Syeikh Abdul Aziz Usamah, sebaiknya diambil iktibar.
🔶 Di dalam Mu’jam Ulum Al Quran, Syeikh Ibrahim Muhammad Al Jarmi menyebutkan beberapa perkara yang saya mudahkan seperti berikut :
1- Ia adalah bentuk Mad Far’ie.
2- Mad Ta’zhim datang dengan sebab makna. Adapun kebanyakan mad, datang dengan sebab lafaz.
3- Ia terjadi pada kalimah tauhid seperti pada :
لا إِلهَ إِلَّا هُوَ
Tiada tuhan selain Dia … (Ayat 163 Al Baqarah).
فَاعْلَمْ أَنَّهُ لا إِلهَ إِلَّا اللَّهُ
Ketahuilah olehmu bahawa tiada tuhan selain Dia …
(Ayat 19 Surah Muhammad).
4- Mad ini diriwayatkan dari para ulama Qiraat yang membaca dengan qasr (dua harakat) pada Mad Jaiz Munfasil. Mereka ialah ibnu Katsir, Abu Jaafar, Susi, Yaaqub, Qalun, Duri Abu amru pada salah satu dari dua wajahnya. Adapun Ashab Tawassuth dan Isyba’ (ulama’ yang membaca 4 dan 6 harakat mad Jaiz Munfasil) kekal dengan kaedah teras mereka pada mad. Mereka hanya memelihara mad berdasarkan lafaz bukan makna.
🔹Tambahan dari penulisan Dr Miftah Muhammad As Sulthani.
• Walaupun Imam Ibnul Jazari menyebutkan Mad Ta’zhim bagi semua ulama’ Qiraat yang membaca dua harakat pada Mad Munfasil, tetapi pakar pakar Qiraat melihat sebaliknya. Tidak semua mereka(Qurra' yang membaca 2 harakat Mad Munfasil) membaca dengan Mad Ta’zhim.
• Qalun contohnya tidak akan membaca dengan Mad Ta’zhim jika memilih wajah Taqlil pada kalimah Taurat. Begitu juga atas wajah meninggalkan dengung pada Lam dan Ra’. Ini disebut oleh Syeikh Ahmad Az Zayyat di dalam Tanqih Fath Al Karim.
• Hafs mebaca dengan Mad Ta’zhim dari jalan Amru bin Sobah (عَمْرُو بْنُ الصَّبَاحِ ). Ini penting untuk kita sebab kita membaca Riwayat Hafs.
5-Kadar Mad Ta’zhim adalah empat harakat. Ia tidak boleh dipanjangkan lebih dari itu kerana lemahnya sebab mad dari sudut makna berbanding dari sudut lafaz.
6- Mad Ta’zhim hanya dibincangkan pada Thoriq Thoyyibah An Nasyr oleh Imam Ibnu Al Jazari dan bukan pada Thoriq Syathibiah.
Berkata Imam Ibnu Al Jazari :
وَالبَعْضُ لِلتَّعْظِيمِ عَنْ ذِي القَصْرِ مَدْ

Hanif Azmir bin Hassim 8 Mac 2021.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

الحمدلله الله اكبر
TOLONG SHARE KEPADA ORANG LAIN SEMOGA MANFAAT DAN MISI BANTERAS BUTA AL-QURAN INI MENDAPAT SAMBUTAN DARI UMAT ISLAM.. INSYAALLAH.. آمين‎
💖 BANTU KAMI 🙏 🇲🇾 TEKAN BUTANG LIKE 👍 DAN SHARE📢📢
جزاك الله

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.