Sabtu, 23 Januari 2021

 ADAKAH SEBUTAN IQLAB DAN IKHFA' SYAFAWI ADALAH SAMA?

Jawapannya ya walaupun terdapat perbezaan dalam beberapa sudut yang lain.
Cuba pula sebut ‘Anbiya’. Jika anda teliti, anda sebenarnya menyebut ‘Ambiya’. Hakikatnya, lidah lebih ringan menukarkan nun menjadi mim apabila nun itu bertemu ba'. Cuba pula anda dengungkan dua keratan ini :
أْن بُورِكَ ويَعْتَصِم بِاللهِ
Saoalan saya , adakah sama cara sebutannya atau tidak? Jawapannya sama. Jika anda memilih untuk merapatkan bibir, maka anda akan merapatkan bibir pada Iqlab dan Ikhfa' Syafawi. Dan jika anda bertalaqqi dengan cara merenggangkan sedikit bibir, maka itulah yang anda lakukan pada iqlab dan Ikhfa' Syafawi.
Perkara paling penting tentang Iqlab yang patut anda faham ialah walaupun yang tertulis di dalam Mushaf ialah nun mati/tanwin bertemu ba’, tetapi hakikat sebutannya ialah mim mati bertemu ba’ seperti Ikhfa’ Syafawi. Mim itu dipanggil Mim yang ditukar dari nun (ميم منقلبة عن النون ) dan mim mati pada ikhfa’ syafawi adalah mim asli (ميم اصلية).
Al Imam Ibnu Al Jazari menyebut di dalam An Nasyrnya :
وَأَمَّا الحُكْمُ الثَّالِثُ وَهُوَ (القَلْبُ) فَعِنْدَ حَرْفٍ وَاحِدٍ وَهِيَ البَاءُ فَإِنَّ النُّونَ السَّاكِنَةَ وَالتَّنْوِينَ يُقْلَبَانِ عِنْدَهَا مِيمًا خَالِصَةً مِنْ غَيْرِ إِدْغَامٍ وَذَلِكَ نَحْوُ (أَنبِئهُمْ، وَمِن بَعْدِ، وصُمٌّ بُكْم) وَلَا بُدَّ مِنْ إِظْهَارِ الغُنَّةِ مَعَ ذَلِكَ فَيَصِيرُ فِي الحَقِيقَةِ إِخْفَاءَ المِيمِ المَقْلُوبَةِ عِنْدَ البَاءِ فَلَا فَرْقَ حِينَئِذٍ فِي اللَّفْظِ بَيْنَ (أْن بُورِكَ ، وبين: يَعْتَصِم بِاللهِ) إِلَّا أَنَّهُ لَمْ يَخْتَلِفْ فِي إِخْفَاءِ الِميمِ وَلَا فِي إِظْهَارِ الغُنَّةِ فِي ذَلِكَ...
“Dan adapun hukum ketiga(dari hukum Nun Sakinah dan Tanwin) ialah Qalb (Iqlab) ketika bertemu huruf yang satu iaitu ba’ kerana Nun mati dan tanwin akan ditukarkan ketika itu (ketika bertemu huruf Ba’) menjadi Mim yang jelas tanpa idgham. Ini adalah seperti :
أَنبِئْهُمْ - وَمِن بَعْد - وصُمٌّ بُكْمٌ
Dan tidak dapat tidak, mesti menzahirkan( menjelaskan) dengung bersamanya, maka jadilah ia pada hakikatnya Ikhfa’ Mim yang ditukar (dari nun) ketika bertemu Ba’. Maka tidak ada beza ketika itu di antara lafaz :
أْن بُورِكَ - وَ يَعْتَصِم بِاللهِ
melainkan lafaznya sama tidak berbeza pada ikhfa’ mim dan pada menzahirkan dengung”.
أْن بُورِكَ - أَم بُورِكَ
Jadi jelas, setelah nun mati ditukarkan kepada bunyi mim, hukumnya ketika itu ialah hukum Ikhfa’ Syafawi iaitu hukum mim mati bertemu ba’.
Ini juga disebut di dalam Kitab kitab Tajwid dan Qiraat yang lain seperti oleh Nab'u Ar Rayyan karangan Syeikh Abu Al Haitsam Muhammad Ali Mathr dan pernah dihuraikan dan di Syarah dalam satu rakaman audio oleh Syeikh Umum Maqari' Mesir pada zamannya, Syeikh Rizq Khalil Habbah.
Saya akan tulis perbezaan ulama' pendapat sesudah tulisan ini.




KHILAF PERGERAKAN BIBIR KETIKA IQLAB DAN IKHFA’ SYAFAWI DI SISI ULAMA'.

 KHILAF PERGERAKAN BIBIR KETIKA IQLAB DAN IKHFA’ SYAFAWI DI SISI ULAMA'.

Terdapat khilaf di kalangan ulama’ Al Quran tentang keadaan dua bibir ketika Iqlab dan Ikhfa’ Syafawi.
KUMPULAN PERTAMA :
Caranya ialah dengan merapatkan bibir secara ringan yang disebut إِطْبَاقُ الشَّفَتَيْنِ. Allamah Thohir Ibnu Ghalbun (W399H) yang merupakan ulama’ besar Mesir pada zamannya menyebut di dalam kitabnya At-Tazkirah fi Al Qiraat At-Tsaman :
وَأَمَّا الِميمُ مَعَ البَاءِ فَهِيَ مُخْفَاةٌ لَا مُدْغَمَةٌ ، وَالشَّفَتَانِ أَيْضًا يَنْطَبِقَانِ مَعَهُمَاـ
Adapun mim ketika bertemu Ba’ (ikhfa’ Syafawi), maka ia hendaklah diikhfa’kan bukan diidghamkan. Dan dua bibir merapat ketika bersama pertemuan kedua huruf ini.
KUMPULAN KEDUA :
Caranya ialah dengan membuka sedkit lubang kecil di antara dua bibir (ابْقَاءُ الفُرْجَة) iaitu sekadar boleh dimasukkan sehelai kertas ke celahan dua bibir.
Syeikh Rizq Khalil Habbah (w1425H) yang merupakan Syeikh Umum Al Maqari’ di Mesir selepas Syeikh ‘Amir Usman berkata :
الانْفِرَاجُ أوْلَى، لِأَنَّنَا لَماَّ نُطْبِقُ الشَّفَتَيْنِ يَصِيرُ وَكَأَنَّهُ مُظْهَرٌ، فَالصَّوَابُ أَنْ يَكُونَ هُنَاكَ انْفِرَاجٌ خَفِيفٌ بَيْنَ الشَّفَتَينِ، لَيْسَ مُبَالَغًا فِيهِ حَتَى لَا تُضَيَّعَ صِفَةُ الحَرْفِ.
Merenggangkan bibir lebih utama. Ini kerana, apabila kita merapatkan bibir, berubahlah ia menjadi seakan-akan huruf yang diizharkan. Maka yang betulnya, ialah di sana adanya bukaan yang ringan/kecil di antara dua bibir tanpa berlebih-lebihan sehingga tidak diabaikan sifat huruf - Zad Al Muqriin.
PANDANGAN YANG LEBIH RAJIH
Pandangan yang paling tepat dan pegangan Jumhur ialah merapatkan bibir iaitu pandangan pertama. Saya menyebutkan hujah yang disebutkan oleh Syeikh Dr Aiman Suwaid dengan sedikit huraian menolak pendapat para ulama’ yang berpegang dengan pendapat membuka sedikit bibir :
1- Bacaan dengan cara ini (furjah) , tidak ada sandaran daripada kitab para imam (tajwid dan qiraat) atau contoh yang mereka datangkan.
Tidak ditemui Kitab Ulama’ Mutaqaddimin mengatakan adanya Furjah(bukaan kecil) ketika membaca Mim Maqlubah(Iqlab) atau Mim Mukhfah (Ikhfa’ Syafawi).
Jikalau ada sekalipun, ia dikarang oleh Ulama’ kontemporari. Ahli Tajwid dan Qiraat zaman ini sepakat mengatakan bahawa guru paling awal yang mengutarakan pandangan ini ialah Syeikh ‘Amir Sayyid Usman, Syeikh Maqari’ Mesir pada zamannya dengan ijtihad dan Qias beliau. Pada pandangan beliau, jika ditutup kedua bibir, hukum telah bertukar menjadi Izhar bukan lagi Ikhfa’. Mudah mudahan Allah merahmati Syeikh.
Tetapi hakikat yang perlu kita fahami seperti yang disebut oleh Dr Aiman Suwaid : "Al Quran dibina atas talaqqi bukan qias". Maksudnya ia adalah sunnah muttabaah(sunnah yang diikuti) dari satu generasi kepada generasa yang lain. Jika generasi awal mengajarkan satu cara, maka kita akan mengikut cara yang diajarkan tanpa sebarang ijtihad dan qias. Tidak seperti ilmu feqah dan sebagainya yang terbuka ruang pandangan dan ijtihad.
KENAPA PENDAPAT INI MASYHUR :
Pendapat ini menjadi masyhur kerana Syeikh merupakan ketua pemilih Qari yang akan membaca di Radio Mesir. Antara Qari yang dipilih ialah Syeikh Mahmud Khalil Husori, Syeikh Abdul Basith Abdul Samad dan Syeikh Muhammad Siddiq Minsyawi. Syeikh mengarahkan para Qari membaca mengikut pendapatnya dan mengulang rakaman jika bacaan tidak seperti yang dikehendaki. Ini disebut oleh Syeikh Abdul Basith bin Abdul Samad sendiri.
Apapun, Allah telah memuliakan Syeikh ‘Amir bin ‘Usman atas kesungguhan menyebar dan menyampaikan Al Quran dengan kewafatan Husnul Khatimah.(Sila rujuk post saya yang lebih awal. Saya memuatkan bacaan Syeikh dan cerita kewafatannya).
2- Ia melanggar kaedah Bahasa Arab :
كُلُّ عُدُولٍ عَنِ الإِظْهَارِ اِلَى غَيْرِهِ عُدُولٌ اِلَى الأَسْهَلِ
Setiap pemalingan dari Izhar kepada selainnya ialah pemalingan ke arah yang lebih mudah.
Kaedah ini bermaksud:
Asal pada pertemuan dua huruf (التقاء الحرف ) ialah Izhar. Dan Izhar ini adalah hukum yang paling sukar dan berat.
Sebarang perpindahan dari Izhar kepada hukum yang lain samada kepada Iqlab, Idgham, atau Ikhfa’ membawa makna berpindah kepada sesuatu yang lebih ringan. Cuba anda Izharkan hukum ikhfa’ pada (من جوع), nescaya lidah anda terasa tidak selesa. Cuba pula anda sebutkan kalimah (أنبياء ) dengan Izhar. Sudah pasti lidah terasa berat. Jelas di sini, yang paling sukar ialah Izhar. Apabila orang arab terasa berat (Tsiql), bacaan dan sebutan akan berubah dari Izhar kepada selain Izhar.
Maka, yang pentingnya di sini. apabila ulama’ dahulu menyebut hukum Ikhfa’ (Syafawi) pada pertemuan mim mati dan ba’, tidak mungkin mereka memaksudkan istilah hukum yang lebih sukar dari ikhfa' iaitu Izhar (syafawi).
3- Tiada sanad periwayatan.
Inilah sebenarnya hujah yang paling kuat. Para pengkaji sanad, mendapati sanad bacaan ‘Furjah’ terhenti pada Syeikh Muhammad Ali Ad Dhobba’ dengan maksud Syeikh Muhammad Ali Ad Dhobba' adalah yang terakhir membaca dan mengajar dengan rapat bibir di kalangan Ulama' Quran Mesir. Selepas itu mula masyhur pendapat me renggang bibir yang dibawa Syeikh Amir Sayyid Usman. Boleh merujuk karangan atau Tahqiq Syeikh Farghali Sayyid ‘Arbawi.
Dr Yahya Abdul Razzaq Al Ghautsani menyebut :
Aku telah bertanya para Ulama’ besar zaman ini tentang perenggangan bibir , maka semua menjawab kepadaku bahawa mereka membaca dengan guru-guru mereka dengan Ithbaq (merapatkan bibir).
Sebagai contoh Syeikh Ahmad bin Abdul Aziz Az Zayyat, pemilik sanad tertinggi di Mesir (ketika itu) yang ketika itu telah melepasi umur 90 tahun. Aku ketika bermusyafahah di rumahnya di Madinah al Munawwarah selepas membaca Surah Al Fatihah, aku bertanya tentang perenggangan bibir ketika mim bertemu Ba’ dan beliau berkata :
لَمْ نَعْهَدْ ذَلِكَ فِي مَشَايِخِنَا وَلَمْ نَكُنْ نَسْمَعْ عَنْهُ مِنْ قَارِئٍ مُعْتَبَرٍ مِنْ قُرَّاءِ الأَزْهَرِ , وَلَا أَعْرِفُ أَحَدًا قَالَ بِهِ إِلَّا بَعْضَ القُرَّاءِ المُعَاصِرِينَ مِنْ بِضْعَةٍ وَعِشْرِينَ سَنَةً تَقْرِيبًا , وَلَمْ نَقْرَأْ عَلَى شُيُوخِنَا إِلَّا بِالإِطْبَاقِ...
Kami tidak pernah mendapatinya dari guru guru kami, dan tidak pernah juga kami mendengarnya daripada mana-mana Qari Muktabar dari Ahli-ahli Quran Al Azhar dan aku tidak ketahui seorang pun yang berkata dengannya melainkan sebahagian Qurra’ pada zaman ini sekitar 20 tahun lebih kebelakangan ini. Dan kami tidak pernah membaca dengan guru-guru kami melainkan dengan merapatkan kedua-dua bibir.
Begitu juga beliau (Dr Yahya Abdul Razzaq Al Ghautsani) telah bertanya kepada Syeikh Hussain Khattab, Syeikh Kurayyim Rajih, Syeikh Abu Al Husain Al Kurdi, Syeikh Muhammad Adil Al Himshi, Syeikh Muhammad Kalal At Thahhan dan selain mereka. Dan semuanya menjawab bahawa mereka membaca dengan Ithbaq.
Bahkan beliau menaqalkan bahawa ini ialah pilihan Syeikh Mahmud Khalil Husori, Syeikh Mahmud Ali Al Banna, Syeikh As Sya’sya’i, Syeikh Muhammad Rif’at, bahkan Syeikh ‘Amir bin Usman sendiri.
Syeikh Muhammad Salahuddin Kabbarah, Syeikh Muqri’ di Thorablis, Lubnan bercerita bahawa dia telah membaca di hadapan Syeikh ‘Amir Usman tujuh Qiraat dengan merapatkan dua bibir pada Mim Maqlubah (Iqlab) dan Mim Mukhfah (Ikhfa’ Syafawi) kemudian pulang ke Lubnan. Beberapa tahun kemudian, beliau kembali ke Mesir untuk membaca tiga Qiraat yang berbaki, tiba-tiba Syeikh ‘Amir memintanya merenggangkan bibir.
Maksudnya ada dua fasa dalam hidup Syeikh. Awalnya, beliau berpegang dengan pandangan merapatkan bibir dan itulah talaqqinya dengan guru-gurunya , kemudian beliau mengubah pandangan beliau kepada bacaan furjah dengan Ijtihadnya.Kemudian, ada pendapat mengatakan Syeikh menarik balik ijtihadnya. Wallahu A’lam.





Adakah batal solat orang yang membaca saktah pada hujung setiap ayat Al Fatihah dan menyambungnya dengan ayat-ayat sesudahnya.

 SOALAN: Adakah batal solat orang yang membaca saktah pada hujung setiap ayat Al Fatihah dan menyambungnya dengan ayat-ayat sesudahnya.

JAWAPAN: Saya yang dhoif berpendapat bahawa membaca saktah pada hujung setiap ayat Surah Al Fatihah tidak membatalkan solat. Ini juga jawapan guru saya.
PENELITIAN :
Jika kita teliti, membaca saktah pada hujung setiap ayat Al Fatihah, tidak termasuk di dalam perkara-kara yang membatalkan solat. Tiada huruf yang gugur di sana, begitu juga Tasydid. Dan tiada kesalahan yang mengubah makna.
Ya, Ia memang menghilangkan baris contoh baris kasrah pada kalimah الرَّحِيمِ dibaca menjadi sukun الرَّحِيمْ tetapi tetap ia tidak mengubah makna. Maka tidak batal solat. Berbeza jika menukarkan Ta’ berbaris fathah kalimahأَنْعَمْتَ (engkau beri nikmat) menjadi Ta’ berbaris dhoimmah أَنْعَمْتُ (aku beri nikmat) . Itu jelas membatalkan solat.
Syeikh Nawawi Al Banteni di dalam Nihayah Az Zain menyatakan bahawa, penukaran baris dan sukun yang tidak mengubah makna, tidak membatalkan solat secara Muthlaq. tetapi Haram jika sengaja. . Semak muka surat 55 cetakan Darul Fikr.
KESIMPULAN :
Hukum yang paling tegas yang mampu kita letak ialah sah solat tetapi perbuatannya haram(صِحَّةُ الصَّلَاةِ مَعَ الحُرْمَةِ). Ia seperti seorang lelaki yang solat memakai gelang emas.Solatnya sah tetapi ada perkara haram di dalam solatnya iaitu pemakaian emas. Pun begitu, ini bagi orang yang sengaja datangkan saktah. Bagi yang tidak sengaja, mudah mudahan tidak berdosa.
Apapun, di dalam masalah ini, adalah lebih baik, jangan disambung bacaan dari ayat ke ayat melainkan dengan menarik nafas yang baru. Atau sambunglah ia, tetapi dengan menyempurnakan baris pada huruf terakhir dalam sesuatu ayat.Wallahu a’lam. Mohon maaf andai di dalam tulisan ini terdapat banyak kekurangan dan kelemahan.
Anda boleh rujuk di dalam Kitab-kitab ini untuk maklumat:
1- Nihayah Al Muhtaj mukasurat 300-307 jilid 1 cetakan Darul Kutub Al alamiyyah.
2- Hasyiyah Qalyubi dan Umairah mukasurat 378-379 jilid 1 cetakan Maktabah Taufiqiyyah
3-Mughnil Muhtaj mukasurat 216-224 jilid 1 Cetakan Darul fikr
4- Asnal Matholib mukasurat 308-318 Jilid 1 cetakan Darul Fikr
5- Qut Al Habib Al Gharib mukasurat 57-58 cetakan dari Fikr
6- Sabilal Muhtadin mukasurat 201-208 cetakan Darul fikr.
7- I’anah At Tholibin mukasurat 268 Jilid 1 cetakan Darul Kutub Islamiyyah.

Hukum membaca Surah Al Fatihah di dalam solat dengan mendatangkan saktah (سكتة) sebagai pengganti waqaf (وقف)

 PERBINCANGAN TAJWID: Hukum membaca Surah Al Fatihah di dalam solat dengan mendatangkan saktah (سكتة) sebagai pengganti waqaf (وقف) pada hujung setiap ayatnya. Mohon maaf agak panjang. Ini jawapan saya edisi kemas kini.

MAKSUD SAKTAH
Pengarang Taisir Ar Rahman fi tajwid Al Quran menyebut :
قَطْعُ الصَوْتِ عَلَى الحَرْفِ القُرْآنِىِّ زَمَنًا يَسِيرًا مِنْ غَيْرِ تَنَفُّسٍ حَالَ الوَصْلِ بِنِيَّةِ اسْتِمْرَارِ القِرَاءَةِ.
Memutuskan suara pada huruf Quran seketika tanpa bernafas hal keadaan wasal dengan niat meneruskan bacaan.
Penting : Saktah berbeza dengan waqaf dari sudut tarikan nafas(تَنَفُّس). Jika berlaku tarikan nafas, itu dipanggil waqaf. Tetapi jika tidak berlaku tarikan nafas, itu ialah saktah.
Terdapat dua kemungkinan hukum di sini :
✒ PENDAPAT PERTAMA : HARAM DAN BERDOSA .
Jika kita berpegang kepada pendapat yang mengatakan TIDAK HARUS SAKTAH PADA HUJUNG AYAT, maka hukum orang yang mensaktahkan hujung setiap ayat dan menyambung dengan ayat yang seterusnya adalah berdosa kerana :
1-Dia membaca sesuatu yang tidak diriwayatkan sedangkan Al Quran adalah sunnah yang diikuti ( سُنَّةٌ مُتَّبَعَةٌ ). Tidak ditambah dan tidak dikurang. Begitu juga jika ada riwayat tetapi tidak kuat sandarannya.
2-Pembaca mendatangkan sesuatu pelik(غريب) ‘tidak wasal dan tidak waqaf’ atau lebih mudah untuk difahami ‘tidak sambung dan tidak berhenti’.
Hendak dipanggil wasal(sambung), suara diberhentikan dengan kaedah waqaf iaitu dengan mematikan huruf berbaris. Contohnya الرَّحِيمِ dibaca الرَّحِيمْ dan الْعَالَمِينَ dibaca الْعَالَمِينْ. Di sini, telah berlaku kesalahan nyata yang disebut ( لحن جلى ) iaitu mematikan huruf yang berbaris sedangkan dia wasal. Lihat Hidayatul Qari oleh Al Murshofi.
Hendak dipanggil waqaf juga tidak tepat kerana waqaf tanpa tarikan nafas tidak dipanggil waqaf. Ibnu Al Jazari ketika menghuraikan makna waqaf, menyebut وَلَا بُدَّ مِنَ التَّنَفُّسِ مَعَهُ maksudnya : "tidak dapat tidak bersama waqaf itu tarikan nafas".
✒ PENDAPAT KEDUA : HARUS DAN TIDAK BERDOSA .
Jika kita berpegang dengan pendapat yang mengatakan HARUS SAKTAH PADA HUJUNG AYAT, maka hukum mensaktahkan hujung setiap ayat dan menyambung dengan ayat yang seterusnya adalah harus. Antara dalilnya :
1-Imam Ibnu Al Jazari ada menyebut pendapat Ibnu Sa’dan dan Ibnu Mujahid tentang harusnya saktah di hujung ayat. Sila rujuk An Nasyr Fi Al qiraat Al ‘Asyr.
وذَهَبَ ابْنُ سَعْدَانِ فِيمَا حَكَاهُ عَنْ أَبِي عَمْرٍو، وَأَبُو بَكْرٍ بْنُ مُجَاهِدٍ فِيمَا حَكَاهُ عَنْهُ أَبُو الفَضْلِ الخُزَاعِيُّ إِلَى أَنَّهُ جَائِزٌ فِي رُؤُوسِ الآيِ مُطْلَقاً حَالَةَ الوَصْلِ لِقَصْدِ البَيَانِ.
“Dan Ibnu Sa’dan berpendapat dari apa yang dia sandarkan kepada Abu ‘Amru, Dan begitu juga Abu Bakar bin Mujahid berpendapat seperti yang diceritakan oleh Abu Al Fadhl Al Khuza’ie, bahawa ianya(saktah) harus pada hujung ayat secara Muthlaq(tanpa ada syarat dan kait) ketika wasal dengan niat menjelaskan(البيان) itu hujung ayat”.
2-Syeikh Ibrahim Eit Waghuri ketika mentahqiq kitab ‘Arf An Nad menyebutkan satu kesalahan penting iaitu (إِجْرَاءُ الوَصْلِ مَجْرَى الوَقْفِ) sambil menjelaskan makna tajuk :
وَذَلِكَ بِتَسْكِينِ الُمتَحَرِّكِ مِن غَيْرِ قَطْعِ الصَّوْتِ وَلَوْ بِمُجَرَّدِ السَّكْتِ
(Kesalahan) ini ialah dengan menukarkan huruf yang berbaris kepada huruf mati tanpa memutuskan suara walau dengan semata-mata saktah.
Contohnya : mensukunkan huruf Ba’ لَا رَيْبْ فِيهِ هُدًى dan menyambung terus kepada Huruf Fa’.
Apa yang penting untuk diteliti ialah takrifnya ‘walau semata-mata saktah’. Jelas di situ Syeikh Ibrahim Eit Waghuri mengeluarkan pembaca yang membaca dengan saktah pada hujung perkataan dari jumlah mereka yang melakukan kesalahan ini. Ini juga menggambarkan bahawa Syeikh mengiktiraf kewujudan pendapat yang membolehkan saktah pada hujung ayat . Inilah apa yang berlaku di dalam bacaan al Fatihah sebahagian pembaca, di mana dia menyambung beberapa ayat dengan saktah pada setiap hujung ayat.
KESIMPULAN :
Pendapat pertama, adalah lebih kukuh dalilnya tetapi pendapat kedua lebih dekat dengan masalah yang dibincangkan. Saya sendiri lebih cenderung kepada pandangan kedua. Apapun yang penting, kita cuba mengelak dari melakukan kesalahan yang sama.

WAQAF DAN SAKTAH PADA 'IWAJA' (عِوَجًا)

 WAQAF DAN SAKTAH PADA 'IWAJA' (عِوَجًا)

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ ٱلْكِتَٰبَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُۥ عِوَجَا ۜ ۝ قَيِّمًا لِّيُنذِرَ بَأْسًا شَدِيدًا مِّن لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ ٱلْمُؤْمِنِينَ .. (الكهف: ١-٢)
Bagi yang melazimi pembacaan Surah Al Kahfi, Ada dua cara yang boleh dipilih ketika sampai di penghujung ayat satu Surah Kahfi ini :
1- Waqaf
2- Wasal yaitu menyambung bacaan kepada ayat seterusnya dengan saktah.
🔷 WAQAF
Tiada salah anda waqaf pada hujung ayat 1 bahkan sunat hukumnya. Menjadi amalan Rasulullah SAW waqaf pada hujung setiap ayat dan ia dipanggil وَقْفُ المَسْنُونِ waqaf yang disunatkan.
Caranya ialah waqafkan bacaan pada kalimah ‘iwaja’ dengan alif dua harakat عِوَجَا . Diwaqafkan sebagai Mad Iwadh. Kemudian menarik nafas dan menyambung pembacaan kepada ayat 2 bermula kalimah قَيِّمًا .
🔷 WASAL(SAMBUNG) BESERTA SAKTAH
Caranya ialah dengan membaca kalimah ‘Iwaja’ dengan alif dua harakat عِوَجَا bukan dengan tanwin عِوَجًا . Alif itu disebut alif yang ditukarkan dari tanwin (الأَلِفُ المُبْدَلَةُ مِنَ التَّنْوِينِ).
Berhentikan suara selepas perkataan ‘عِوَجَا’ tetapi jangan menarik nafas baru bahkan kekalkan nafas yang sama . Kemudian teruskan bacaan kepada ayat kedua.
Kesalahan yang selalu berlaku ialah mendatangkan saktah dengan tanwin pada huruf jim (عِوَجًاۜ قَيِّمًا ). Yang tepatnya ialah membaca dengan alif yang ditukarkan dari tanwinnya (الأَلِفُ المُبْدَلَةُ مِنَ التَّنْوِينِ) dan bukan tanwin ( عِوَجَاۜ قَيِّمًا).
✅ Ibnu Bazish yang wafat pada tahun 540 H (ابن الباذش ) menyebut di dalam kitabnya Al Iqna’ :
عِوَجًا بِوَقَفَةٍ لَطِيفَةٍ مِنْ غَيْرِ قَطْعٍ وَلَا تَنْوِينٍ
Kalimah Iwaja adalah dengan waqaf yang ringan(saktah) tanpa memutuskan (nafas) dan tanpa tanwin (pada jim).
✅ Syeikh Dr Aiman Suwaid, ulama' Al Quran terkenal dari Syiria ada menyebutkan satu kaedah penting berkait masalah ini :
حُكْمُ الكَلِمَةِ المَسْكُوتِ عَلَيْهَا كَحُكْمِ الكَلِمَةِ المَوْقُوفِ عَلَيْهَا
Hukum bagi kalimah yang disaktahkan atasnya adalah seperti hukum bagi kalimah yang diwaqafkan atasnya.
Maksudnya : apabila kita waqaf dengan Mad Iwadh iaitu dengan membuang tanwin dan menggantikannya dengan alif, maka ketika saktah pun sama dibuang tanwin.
✅ Kaedah ini menepati apa yang disebut pengarang Kitab Ad Durr Al Yatim, ' Allamah Al Barkawi (w981 H) :
السَّكْتُ قِطْعَةٌ بِلَا تَنَفُّسٍ وَحُكْمُهُ حُكْمُ الوَقْفِ
Saktah ialah pemutusan(suara) tanpa tarikan nafas, dan hukumnya ialah hukum waqaf.Wallahu a'lam




SAKTAH-SAKTAH WAJIB (السَكْتَاتُ الوَاجِبَةُ)

 SAKTAH-SAKTAH WAJIB (السَكْتَاتُ الوَاجِبَةُ)

Sebenarnya saya yakin semua kita dah tahu , cuma sekadar memperkenalkan istilahnya iaitu (السَكْتَاتُ الوَاجِبَةُ) . Nanti kalau ada Ustaz atau Ustazah yang bertanya : " apa itu saktah wajib?", kita tidak terpinga-pinga dan boleh jawab.
Saktah Wajib ialah saktah yang wajib didatangkan jika pembaca memilih untuk sambung bacaan (wasal).
1- Kalimah عِوَجَاۜ قَيِّمًا .
Ia berada pada ayat 1-2 dari Surah Al-Kahfi. Boleh memilih untuk waqaf pada hujung ayat jika tidak mahu saktah. Ia adalah Waqaf yang disunatkan kerana Nabi akan waqaf pada setiap hujung ayat.
2- Kalimah مَرْقَدِنَاۜ هَذَا .
Ia berada pada ayat 52 dari Surah Yaasin. Boleh waqaf pada kalimah ‘Marqadina’, jika ingin waqaf dan ia dipanggil waqaf sempurna ( الوَقْفُ التَّامُ).
3- Kalimah مَنْۜ رَاقٍ Ia berada pada ayat 27 dari Surah Al-Qiyamah. Tidak perlu waqaf kerana ayatnya terlalu pendek maka beramallah dengan hukum saktah.
4- Kalimah بَلْ ۜ رَانَ Ia berada pada ayat 14 dari Surah Al-Muthaffifin. Tidak perlu waqaf kerana ayatnya terlalu pendek maka beramallah dengan hukum saktah.
Dipetik dari Kitab Hilyah at Tilawah- Dr Rihab Muhammad Mufid Syiqaqi dengan sedikit huraian.
TA’RIF SAKTAH
Pengarang Taisir Ar Rahman fi tajwid Al Quran menyebut :
قَطْعُ الصَوْتِ عَلَى الحَرْفِ القُرْآنِىِّ زَمَنًا يَسِيرًا مِنْ غَيْرِ تَنَفُّسٍ حَالَ الوَصْلِ بِنِيَّةِ اسْتِمْرَارِ القِرَاءَةِ.
Memutuskan suara pada huruf Quran seketika tanpa bernafas hal keadaan wasal dengan niat meneruskan bacaan.
Wallahu A'lam. Mohon maaf jika ada kekurangan.