Sabtu, 3 April 2021

CAMPUR THORIQ (خلط الطرق) DI DALAM PEMBACAAN

 CAMPUR THORIQ (خلط الطرق) DI DALAM PEMBACAAN

Apa hukum membaca dengan bercampur thoriq di dalam satu bacaan?. Contohnya, pembaca di dalam satu bacaannya membaca Mad Munfasil bercampur di antara 2 dan 4 atau 5 harakat.
JAWAPAN
Di dalam Mu’jam Ulum Al Quran , Syeikh Ibrahim Muhammad Al Jarmi mendefinasikan thoriq sebagai :
هِىَ مَا يُنْسَبُ إِلَى الأًخْذِ عَنِ الرَّاوِى
Apa yang disandarkan kepada pengambilan dari Rawi.
Contohnya : Thoriq Asbahani dari Warsy dan Thoriq Abu Thoyyib Al Baghdadi dari Ruwais.
🔶 Imam Ibnu Al Jazari menyebutkan di dalam An Nasyr 980 thoriq bagi semua qiraat.
▪Bagi Hafs ‘an ‘Ashim, beliau menyebutkan 52 thoriq yang dihimpunnya dari 19 kitab di antaranya At Taisir Fi al qiraat As Sab’I karangan Abu Amru Ad Dani , Ghayah Al Ikhtisar fi al qiraat al ‘Asyr karangan Abu al ‘Ala’ Al ‘Atthor dan Al Jami’ fi al qiraat al ‘Asyr karangan Abu al Hasan bin Faris Al Khayyath.
▪Dan Al Azmiri menambah 5 thoriq lagi, 2 daripadanya melalui kitab Raudhah Al Mu’addal dan 3 lagi melalui kitab Raudhah Al Maliki. Ini menjadikan keseluruhannya 57.
▪ Semua ini boleh dirujuk dari Kitab Al Manar fi riwayat Hafs min thuruq Thoyyibah An Nasyr karangan Syeikh Umar Yusuf Hammad.
Berbalik kepada keharusan خَلْطُ الطُّرُق mencampur adukkan thoriq, kita katakan ia sangat berkait dengan perbincangan hukum campurkan qiraat خَلْطُ القِرَاءَاتِ . Di sini dihimpunkan beberapa pandangan :
1- Syeikh Ahmad Mahmud Abdul As Sami’ As Syafie di dalam kitabnya Al Ijabat Al Wadhihat li sualat al Qiraat menyebutkan pandangan Al Imam Ibnul Jazari dengan sedikit ringkasan :
إِنْ كَانَتْ إِحْدَى الْقِرَاءَتَيْنِ مُترَتبةً عَلَى الْأُخْرَى فَالْمَنْعُ مِنْ ذَلِكَ مَنْعُ تَحْرِيمٍ، كَمَنْ يَقْرَأُ ( فَتَلَقَّى آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَات) بِالرَّفْعِ فِيهِمَا، أَوْ بِالنَّصْبِ وَنْحْوُ وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّا بِالتَّشْدِيدِ وَالرَّفْعِ، وَشِبْهُهُ مِمَّا يُرَكَّبُ بِمَا لَا تُجِيزهُ الْعَرَبِيَّةُ وَلَا يَصِحُّ فِي اللُّغَةِ، وَأَمَّا مَا لَمْ يَكُنْ كَذَلِكَ فَإِنَّا نُفَرِّقُ فِيهِ بَيْنَ مَقَامِ الرِّوَايَةِ وَغَيْرِهَا، فَإِنْ قَرَأَ بِذَلِكَ عَلَى سَبِيلِ الرِّوَايَةِ، فَإِنَّهُ لَا يَجُوزُ أَيْضًا مِنْ حَيْثُ إِنَّهُ كَذِبٌ فِي الرِّوَايَةِ وَتَخْلِيطٌ عَلَى أَهْلِ الدِّرَايَةِ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ عَلَى سَبِيلِ النَّقْلِ، بَلْ عَلَى سَبِيلِ الْقِرَاءَةِ وَالتِّلَاوَةِ، فَإِنَّهُ جَائِزٌ صَحِيحٌ مَقَبُولٌ لَا مَنْعَ مِنْهُ وَلَا حَظْرَ…
Jika satu daripada dua qiraat bertindih dengan yang lain, maka larangannya adalah larangan haram. Seperti orang yang membaca : فَتَلَقَّى آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٌ iaitu dengan Rafa’ pada keduanya ( huruf mim ‘Adam’ dan huruf ta ‘kalimat’) atau nasab keduanya فَتَلَقَّى آدَمَ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ (mim ‘Adam’ dan ta ‘kalimat’) dan seperti وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّاءُ dengan tasydid dan Rafa’ dan yang sepertinya daripada sesuatu yang bertindih/bercampur aduk dan ianya pula tidak diharuskan dan tidak dipandang betul di sisi Bahasa Arab.
Dan adapun, apa yang selain itu, maka kami pecahkan kepada jalan periwayatan dan jalan selainnya. Jika atas jalan periwayatan (contohnya murid membaca untuk mendapat sanad dari guru atau guru menyampaikan ijazah) , maka tidak harus (Haram) juga kerana ia penipuan dalam periwayatan dan percampuran atas ahli dirayah. Tetapi, jika bukan jalan Naql (periwayatan) bahkan hanya sebagai bacaan dan tilawah, maka hukumnya harus, betul dan diterima. Tiada larangan padanya dan tiada tegahan.
▪Pandangan Imam Ibnul Jazari ini diperhalusi lagi oleh beberapa tokoh antaranya Syeikh Musthofa Al Azmiri yang wafat pada tahun 1155H .Beliau pernah menyatakan, sebab beliau menghimpunkan perbincangan Thoriq-thoriq di dalam kitabnya Zubdah Al Irfan fi Tahrir Aujuh Al Quran ialah :
احْتِرَازًا عَنِ التَّرْكِيبِ؛ لِأَنَهُ حَرَامٌ فِي القُرْآنِ عَلَى سَبِيلِ الرِّوَايَةِ، أَوْ مَكْرُوهٌ كَرَاهَةَ تَحْرِيمٍ كَمَا حَقَّقَهُ أَهْلُ الدِّرَايَة".
Memelihara dari pertindihan, kerana ia haram atas jalan riwayat atau makruh tahrim seperti yang disebut oleh ahli dirayah(ilmu).
▪Selain itu, Imam Abu Syamah di dalam Kitab Al Wajiz menyebutkan ketika ditanya tentang qari yang membaca satu ‘usyur dari Quran dan mencampurkan adukkan Qiraat kepada Ibnu Al Hajib RH dan Ibnu As Solah RH , maka mereka dan para imam lain zaman itu menjawab boleh/harus dengan syarat (seperti yang disebutkan Ibnul Jazari). Kedua dua ulama’ besar ini sebenarnya berada di zaman zaman lebih awal dari Al Imam Ibnul Jazari.
2- Berkata Imam Al Qasthalani di dalam Lathaif Al Isyarat li Funun al Qiraat :
يَجِبُ عَلَى القَارِئِ الإِحْتِرَازُ مِنَ التَّرْكِيبِ فِي الطُّرُقِ، وَتَمْيِيزُ بَعْضِهَا مِنْ بَعْضٍ، وَإِلَّا وَقَعَ فِيمَا لَا يَجُوزُ، وَقِرَاءَةِ مَا لَم يُنْزَلْ".
Wajib atas pembaca, berhati hati dari mencampurkan thoriq dan hendaklah membezakan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain. Jika tidak pembaca itu akan jatuh ke dalam sesuatu yang tidak harus dan bacaan yang tidak diturunkan.
Lafaz يجب على القارئ di awal kata katanya tadi, seolah-oleh menunjukkan bahawa tidak harus di situ maksudnya Haram.
3- Imam Muhammad bin Muhammad An Nuwairi berkata di dalam Syarah Durrahnya :
"القِرَاءَةُ بِخَلْطِ الطُّرُقِ أَوْ تَرْكِيبِهَا: حَرَامٌ، أَوْ مَكْرُوهٌ، أَوْ مَعِيبٌ".
Pembacaan dengan bercampur thoriq atau tarkib adalah Haram atau makruh atau keaiban.
🔶 Sebenarnya, apa yang saya ulas lebih berkait dengan pandangan Qurra'. InsyaAllah jika ada kesempatan, akan saya ulas pandangan fuqaha' yang agak berbeza.
Daripada pandangan-pandangan itu, kita menasihatkan :
1- Teliti terlebih dahulu bacaan Hafs ‘an ‘Ashim dengan Thoriq Mad Munfasil 2 harakat yang ingin digunakan sebelum membacanya kerana ia bukan sekadar bab Mad Munfasil, bahkan terdapat banyak perkara-perkara lain yang perlu diteliti. Sepanjang penelitian saya, ada sekitar 10 thoriq yang membaca dengan Qasr Al Munfasil.
2-Jika ia adalah pembacaan di rumah atau murajaah dan bukan pengambilan sanad atau ijazah, mudah mudahan tercampuk aduk thoriq ini tidak berdosa. Lagipula, pengurangan harakat atau terlebih mad ini pula adalah lahn al khafi di sisi qurra’ yang termasuk Wajib Shinaie. Boleh rujuk perbincangan Wajib Syar’ie dan Wajib Shina’ie di dalam Kitab Ahkam Tilawah Al Quran Al Karim karangan Dr Hamudah mUhammad Daud dan Dr Syaaban Muhammad Ismail.



Mudah-mudahan ada kebaikan dari usaha kecil ini. Wallahu A'lam.Hanif Azmir Hassim 2 April 2021.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

الحمدلله الله اكبر
TOLONG SHARE KEPADA ORANG LAIN SEMOGA MANFAAT DAN MISI BANTERAS BUTA AL-QURAN INI MENDAPAT SAMBUTAN DARI UMAT ISLAM.. INSYAALLAH.. آمين‎
💖 BANTU KAMI 🙏 🇲🇾 TEKAN BUTANG LIKE 👍 DAN SHARE📢📢
جزاك الله

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.