Jumaat, 12 Februari 2021

AD DHOM ( الضَّمُ) DAN AL IRJA’ (الإِرْجَاع).

Ada yang tanya, Qaf perlu muncung mulut atau tidak. Jawabnya tidak. Begitu jugalah pada Shod. Ramai yang muncungkan mulut tetapi hakikatnya tidak perlu bahkan dianggap Lahn(kesalahan).

 AD DHOM ( الضَّمُ) DAN AL IRJA’ (الإِرْجَاع).

Cuba anda baca أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ. Soalannya, berapa kali anda muncungkan bibir dan berapa kali anda rapatkan bibir ketika membaca ayat ini. Inilah masalah Ad dhom wal Irja’.
🔶 AD- DHOMM
Ad Dhom ( الضَّمُ) di sini maksudnya bibir dimuncungkan . Perlu jelas bahawa bibir hanya dimuncungkan dalam beberapa keadaan :
1- Bertemu huruf berbaris dhommah(depan) . Cuba sebut fu, su, mu, nu dan lu. Anda akan mendapati bahawa bibir dibawa ke depan. Setiap huruf berbaris dhommah tidak akan sempurna melainkan dengan memuncungkan bibir seperti yang disebut Allamah At Thibi di dalam matannya.
وَكُـلُّ مَضْمُـومٍ فَلَـنْ يَتِـمَّا * إِلَّا بِـضَـمِّ الشَّفَتَـيْنِ ضَـمَّـا
2- Bertemu huruf Waw (و) samada ia berbaris atas, bawah atau depan. Bahkan ketika waw itu sukun sebagai Lin contohnya ( أَوْ ). Cuba baca: (وَوَالِدٍ وَمَا وَلَدَ ). Anda akan mendapati bibir dimuncungkan beberapa kali.
3- Apabila Ra’ dibaca tebal dalam keadaan tertentu contohnya (مَرْقَدِنَا).Tetapi di sini ada khilaf. Pendapat yang kuat ialah tiada pemuncungan mulut untuk menebalkan Ra'. Yang perlu hanyalah mengangkat Aqsa Al lisan (bahagian lidah paling dalam) ke atas.
4- Kalimah ‘ لَا تَأْمَ۫نَّا ‘ di dalam Surah Yusuf ayat 11. Cuma ia ada kaedah tersendiri dipanggil Isymam yang dipelajari melalui talaqqi.
🔶 AL IRJA’ / AL BAST
Ingat Al Irja’/Al Bast (الإِرْجَاعُ/البَسْطُ). Mengembalikan bibir kepada keadaan merapat.
🔷 PRAKTIKAL :
كُنتُمْ
1- Pada Kalimah ‘KUNTUM’ , bibir dimuncungkan dua kali dan dirapatkan 2 kali. Dimuncungkan ketika menyebut kaf yang berbaris depan (ku) kemudian dirapatkan kembali ketika menyebut nun mati. Kemudian dimuncungkan kembali untuk menyebut ta’ berbaris depan (tu) dan diirja’kan/dirapatkan kembali untuk membunyikan mim mati.
مُحْسِنِينَ
2- Pada Kalimah ‘MUHSININ’ , hanya akan berlaku sekali Dhomm dan sekali Irja’. Bibir dimuncungkan ketika menuturkan mim berbaris depan (mu) kemudian dirapatkan kembali ketika menyebut ha’ mati.
لَمَرْدُودُونَ
3- Pada Kalimah ‘LAMARDUDUN’ , Bibir dikekalkan tanpa muncung sehingga menyebut dua patah kata ‘du du’ . Ketika itu baru dimuncungkan bibir. Tidak perlu merapatkan bibir sesudah menyebut 'du' yang pertama. Ini kerana selepasnya adalah waw MAD yang mati. Kaedah yang sama dipraktikkan pada kalimah ‘ أَعُوذُ‘. Dan saya menyebutkan apa yang disebut oleh Syeikh Dr Syeikh Muhammad Al Ahdal dan Syeikh Abdul Qadir Usman.
تَسُرُّ النَّاظِرِينَ
4- Pada kalimah TASURRUN NAZHIRIN, Bibir akan dimuncungkan dua kali dan dirapatkan 2 kali. Bermula muncung ketika menyebut Sin berbaris depan (su) kemudian dirapatkan kembali ketika menyebut Ra’ mati. Ra’ mati itulah tersembunyi di balik tasydid. Kemudian dimuncungkan kembali untuk menyebut Ra’ berbaris depan (ru) dan diirja’kan/dirapatkan kembali untuk membunyikan nun mati.
KESIMPULAN : Tidak semua perkara mampu diterangkan dengan tulisan. Rujuklah para guru tajwid yang ada untuk penjelasan. Saya hanya membuka tajuk perbincangan. Mohon maaf atas sebarang kekurangan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

الحمدلله الله اكبر
TOLONG SHARE KEPADA ORANG LAIN SEMOGA MANFAAT DAN MISI BANTERAS BUTA AL-QURAN INI MENDAPAT SAMBUTAN DARI UMAT ISLAM.. INSYAALLAH.. آمين‎
💖 BANTU KAMI 🙏 🇲🇾 TEKAN BUTANG LIKE 👍 DAN SHARE📢📢
جزاك الله

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.