Sabtu, 23 Januari 2021

Apakah hukum menggugurkan mad dua harakat (Mad Asli) pada lafaz jalalah (Allah)

 Apakah hukum menggugurkan mad dua harakat (Mad Asli) pada lafaz jalalah (Allah) seperti :

الطَّيِّبَاتُ للهِ - سُبْحَانَ الله - الحَمْدُ للهِ – لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ
HUKUM :
1- Jika kalimah Allah itu terdapat di dalam solat dan ia adalah rukun solat seperti Al Fatihah dan Tahiyyat Akhir, ia boleh membatalkan solat.
2- Jika kalimah Allah itu terdapat di dalam solat tetapi bukan rukun solat contohnya kata سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ InsyaAllah ia tidak membatalkan solat.
3- Jika kalimah Allah itu terdapat di dalam Al Quran, maka adalah Haram menggugurkan mad dua harakat padanya samada di dalam solat atau di luar solat. Ini kerana ia adalah penyimpangan dari apa yang diajar Rasulullah.
4- Jika kalimah Allah itu adalah kalimah contohnya zikir sebanyak 33 kali kalimah سُبْحَانَ الله selepas solat, Sebahagian ulama' menganggap zikir terse but tidak sempurna dan tidak diterima.
DALIL DAN HURAIAN :
🔶 1- Syeikh Ahmad Al Banna’ di dalam Ittihaf Fudhala’ Al Basyar :
المَدُّ الأَصْلِىُّ هُوَ الطَّبِيعِىُّ الَّذِى لَا تَقُومُ ذَاتُ الحَرْفِ المَدِّ إِلَّا بِهِ
Mad asli adalah Mad Thobi’ie yang zat huruf tidak mampu berdiri tanpanya.
Maksud : Mad adalah SIFAT dan ZATNYA ialah huruf yang tersembunyi di sebaliknya. Sifat dan Zat tidak boleh berpisah. Jadi perlu difahami bahawa mad dua harakat di antara huruf Lam dan Ha’ lafaz ‘Allah’ bukan sifat panjangnya dua harakat sebagai Mad Asli atau disebut Mad Thobi’ie, tetapi di sebaliknya ada zat huruf yang tidak terpisah darinya iaitu huruf alif.
Mudahnya, seseorang yang menggugurkan madnya , bererti dia telah menggugurkan satu huruf di samping sifat mad itu sendiri.
Contohnya bila pembaca menggugurkan mad pada lafaz َقَال dan dibaca قَلَ, maka bermakna pembaca juga telah menggugurkan zatnya iaitu huruf alif.
‼ PERINGATAN : Terkurang kadar pada Mad selain Mad Asli/Mad Thobi’ie, masih ada keringanan dan perbincangan Ulama’ padanya contohnya empat harakat dibaca tiga harakat pada Mad Munfasil, tetapi apabila berlaku pengurangan kadar panjang pada Mad Asli/Mad Thobi’ie dari dua harakat kepada satu harakat, ia sangat bahaya.
🔶 2- Syeikh Ibrahim Eit Waghuri ketika mentahqiq kitab ‘Arf An Nad ada menghuraikan kaedah penting yang disebutkan Allamah Abi Al ‘Abbas al Hilali (sebagai dalil haram menggugurkan Mad asli) :
كُلُّ مَا يَسْتَلْزِمُ الحَرَامَ فَهُوَ حَرَامٌ
Setiap apa yang membawa kepada yang haram maka ianya haram.
Katanya : “Alangkah baiknya jika orang yang menentang (ulama’ yang menolak haramnya meninggalkan Mad asli) mengingati bahawa Mad thobi’ie ini diambil dari Rasulullah dan sampai kepada kita dengan mutawatir… “.
🔹Kemudian beliau menaqalkan kata-kata Imam Tajuddin As Subki (wafat 771 H) di dalam Man’u Al Mawani’ : “Ketahuilah bahawa tujuh qiraat yang mutawatir, madnya adalah mutawatir, Imalahnya adalah mutawatir, semuanya adalah jelas tanpa syak padanya…”.
🔹Beliau kemudiannya menaqalkan pula kata-kata Syeikh Muhammad Az Zurqani (wafat 1367 Hijrah) di dalam Manahil Al-Irfan: “Bagaimana mungkin apa yang telah ijma’ oleh para Ahli Quran (قراء ) generasi demi generasi tidak mutawatir, dan jika Mad dan menjelaskan Hamzah bukan mutawatir atas Ithlaq, maka apa lagi yang yang mutawatir”.
Maksud : Syeikh Ibrahim Eit Waghuri ingin menyampaikan bahawa meninggalkan Mad Asli bermakna meninggalkan cara bacaan Rasulullah. Oleh kerana meninggalkan cara bacaan Rasulullah adalah Haram, maka hukum mengabaikan Mad Asli/Thobi’ie juga menjadi Haram. Mana mungkin dibaca Al Quran yang diturunkan dan diajarkan kepada Rasulullah tetapi tidak dengan cara bacaan Rasulullah.
🔶 3- ‘Allamah Al Hilali di dalam ‘Arf An Nadd menyebutkan bahawa dua mufassir agung iaitu Imam Al Baidhawi As Syafi’ie ( wafat 685 H) dan Imam Abu Su’ud Al ‘Imadi Al Hanafi (wafat 982 H) di dalam tafsir mereka menyatakan :
أَنَّ إِسْقَاطَ الأَلِفِ اسْمِ الجَلَالَةِ لَحْنٌ تَفْسُدُ بِهِ الصَّلَاةُ وَلَا يَنْعَقِدُ بِهِ صَرِيحُ اليَمِينِ.
Bahawa menggugurkan alif( Mad) pada lafaz jalalah, adalah kesalahan yang merosakkan solat dan tidak dikira lafaz sumpah yang jelas dengannya.
Maksud :
1 : Solat tidak sah jika meninggalkan Mad dua harakat pada lafaz ‘Allah’ yang melibatkan bacaan rukun di dalam solat seperti Al Fatihah dan Tahiyyat Akhir.
2- Sumpah dengan nama Allah, dengan kalimah Qasam(sumpah) yang jelas contohnya وَاللهِ tidak terpakai jika tidak disebut dengan Mad dua harakat padanya.
🔶 4- Berkata Al Ajhuri di dalam Syarah Mukhtasar:
وَلَا بُدَّ فِى الجَلَالَةِ مِنَ المَدِّ الطَابِعِىِّ فَإِنَّ تَارِكَهُ لَا تُجْزِئُهُ صَلَاتُهُ وَكَذَالِكَ الذَّاكِرُ لَا يَكُونُ ذَاكِرًا بِتَرْكِهِ.
Tidak dapat tidak pada lafaz Jalalah perlu ada Mad Thobi’ie.
Sesungguhnya orang yang meninggalkannya, tidak sah solatnya, begitu juga orang yang berzikir, tidak diapanggil orang yang berzikir dengan meninggalkannya.
MAKSUD :
1- Tidak sah solat jika orang bersolat meninggalkan mad dua harakat pada lafaz ‘Allah’ yang melibatkan bacaan rukun di dalam solat seperti ‘takbiratul ihram.
2- Tidak dianggap orang yang berzikir, jika mengabaikan Mad asli dua harakat pada lafza jalalah.
✅ KESIMPULAN : Pendapat saya bukan muktamad. Saya sendiri masih mencari rujukan yang lebih kuat jika terjumpa. Rujuklah kepada guru-guru yang lain. Jika di sana ada hujah yang lebih kuat, tolak pendapat saya dan berpeganglah dengan pendapat itu. Mohon maaf andai terdapat kesalahan dan kekurangan di dalam tulisan ini.



DUA SAKTAH HARUS (السَّكْتَتَانِ الجَائِزَتَانِ)

 DUA SAKTAH HARUS (السَّكْتَتَانِ الجَائِزَتَانِ)

Maksudnya ialah saktah yang diberi pilihan untuk membacanya atau meninggalkannya. Ia hanya ada pada dua tempat di dalam al Quran mengikut riwayat Hafs An Ashim(bacaan kita) :
🔶 1- Di antara akhir Surah Al Anfal dengan awal Surah At Taubah. Iaitu membaca akhir Surah Al Anfal إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ kemudian saktah dan terus menyambung kepada awal Surah At Taubah. Ingat, sukunkan mim alimah 'عليم ' baru datangkan saktah.
Ada dua cara lagi yang boleh diamalkan di sini iaitu :
1- Waqaf pada akhir Al Anfal. Mengambil nafas baru dan memulakan awal at Taubah.
2- Wasal (وَصْلٌ) - iaitu menyambung terus akhir Surah Al Anfal dengan awal Surah At Taubah dengan nafas yang sama tanpa saktah.
إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ بَرَاءَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ...
Pertemuan kalimah (عَلِيمٌ) dengan kalimah (بَرَاءَةٌ) akan mewujudkan hukum Iqlab.
🔶 2. Pada huruf Ha’ (ھ) lafaz (مَالِيَهْ) ketika menyambungnya dengan perkataan sesudahnya iaitu dalam Surah Al-Haqqah ayat 28-29.FirmanNya :
مَا أَغْنَى عَنِّي مَالِيَهْ ۜ هَلَكَ عَنِّي سُلْطَانِيَهْ
Ada dua lagi cara yang diharuskan di sini iaitu :
1- Waqaf pada kalimah(مَالِيَهْ) kemudian mengambil nafas baru dan membaca ayat هَلَكَ عَنِّي سُلْطَانِيَه .
2- Wasal (وَصْلٌ) dengan dengan mengidghamkan/memasukkan Ha’ (مَالِيَهْ) ke dalam Ha’ pada (هَلَكَ). Ia dipanggil Idgham Mitslain Soghir. Jadi dibaca :

مَا أَغْنَى عَنِّي مَالِيَه هَّلَكَ عَنِّي سُلْطَانِيَهْ



SUJUD TILAWAH

 SUJUD TILAWAH

Anda selalunya baca Al Quran dalam keadaan duduk kan? Ketika anda terjumpa tanda sujud, sunat anda sujud. Jadi, cuba buat seperti ini:
1- Angkat rehal dan Al Quran anda dan letakkan di tepi. Ini untuk membuka ruang sujud di hadapan anda.
2- Duduklah dengan cara duduk antara dua sujud(boleh duduk cara lain), kemudian angkat tangan bertakbir sambil mulut menyebut ‘Allahu akbar’. Niatkan :”aku sujud tilawah kerana Allah”.
3- Sujud dan sunat menyebut ‘Allahu Akbar’ ketika turun sujud.
4- Ketika sujud, sunat membaca bacaan sujud tilawah. Jika tidak ingat bacaannya , bacalah bacaan sujud didalam solat .Kalau tak ingat juga,tak baca apa-apa pun sah. Cuma pastikan ada thoma’niah.
5- Bangun dan duduk tahiyyat awal lalu terus bagi salam. Tidak perlu membaca tahiyyat. Selesai.
‼ PERINGATAN: Jangan lupa, segala syarat syarat sujud yang ianya seperti syarat solat mesti disempurnakan sebelum kita sujud tilawah. Kena ada wudhu', mengadap kiblat dan lain lain.
🔶 PENERANGAN TAMBAHAN :
Di dalam Kitab Taqrirat As-Sadidah karangan Habib Hasan Al-Kaaf dinyatakan RUKUNNYA yang tujuh, dan itulah yang saya sebutkan tadi :
1-NIat
2-Takbiratul Ihram.
3-Sujud
4-Thoma’ninah(diam seluruh anggota sekurang-kurangnya sekadar melafaz “Subhanallah”).
5-Duduk
6-Salam
7Tertib (Ikut urutan).
🔶 BACAAN SUJUD :
1- Mengikut hadis Muslim dan Termizi:
اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ، سَجَدَ وَجْهِيَ لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعُهُ وَبَصَرُهُ بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ تَبَارَكَ اللهُ أَحْسَنُ الخَالِقِينَ .
2- Mengikut hadis Termizi dan Ibnu Majah:
اللَّهُمَّ اكْتُبْ لِي بِهَا عِنْدَك أَجْراً وَامْحُ عَنِّي بِهَا وِزْرًا وَاجْعَلْهَا لِي عِنْدَكَ ذُخْراً وَتَقَبَّلْهَا مِنِّي كَمَا تَقَبَّلْتَهَا مِنْ عَبْدِكَ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلَامُ.
3- Kitab Al-Majmu’. Ini dinaqal dari Imam Syafi’e :
سُبْحَانَ رَبِّنَا إِن كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولًا
Maklumat lain contohnya mengenai ayat-ayat sujud, anda boleh rujuk di laman internet yang dipercayai.



PERBEZAAN TULISAN KALIMAH 'IBRAHIM' Di dalam Surah Al-Baqarah ayat 132

 PERBEZAAN TULISAN KALIMAH 'IBRAHIM'



Ditanya : "kenapa perkataan ‘Ibrahim’ ditulis berbeza. Di dalam Surah Al-Baqarah ayat 132 ditulis dengan ya’ kecil (إِبْرٰهۧم ) dan di dalam Surah Ali Imran ayat 33 pula ditulis dengan ya’ bertitik [إِبْرٰهيم]".
HURAIAN :
1- Cuba anda buka Al Quran dan teliti perkataan Ibrahim di dalam surah Al Baqarah di dalam surah yang lain. Anda akan pelik. Di dalam Al Baqarah, ia ditulis tanpa ya(hanya ya gantian) sedang di dalam Surah lain dengan ya.
🔶 AL BAQARAH: Ayat 124,125,126,127 dan selainnya.
🔶 SELAIN AL BAQARAH : Surah Ali Imran ayat 33, Surah An Nisa' ayat 54, Al An'am ayat 163 dan selainnya.
2- Perlu dfahami dahulu bahawa pada zaman Nabi SAW, tiada titik dan baris(atas,bawah dan depan) pada huruf. Ini disebut dalam banyak nukilan di antaranya Al-Qiraat Al-Quraniyyah karangan Syeikh Abdul Salim Mukram. Ini bermakna, huruf ya’ juga tidak ada dua titik di bawahnya ketika itu.
🔷 JAWAPAN 1 :
Ia ditulis begitu secara Tauqifi (رَسْمٌ تَوقِيفِىٌّ). Secara mudah, tauqifi dapat diertikan sebagai suatu perkara yang tidak perlu ditanya kenapa. Kita hanya mengikuti langkah generasi kita (sahabat) tanpa perlu bertanya kenapa ditulis begitu. Ini kerana ia adalah apa yang ditulis sahabat ketika pembukuan Mushaf induk zaman Sayyiduna Usman RA.
🔷 JAWAPAN 2 :
Sebahagian ulama’ cuba merungkaikan perkara ini menyebutkan beberapa kemungkinan yang membawa kepada perkara ini :
1-Untuk memberitahu bahawa perkataan Ibrahim ada yang dibaca dengan alif dan ada yang dibaca dengan ya’ . Ini kerana perkataan Ibrahim juga dibaca dengan Ibraham. Ibnu Zakwan murid Imam Ibnu ‘Amir contohnya membaca kalimah Ibrahim pada 33 tempat di dalam Al-Quran dengan alif iaitu Ibraham (إبراهام ) . Al-Imam Abu Mansur Al-Azhari menyebutkan di dalam Maani Al-Qiraatnya :
وَمَنْ قَرَأَ : ( إِبْرَاهَامُ ) فَهِيَ لُغَةٌ عِبْرَانِيَّةٌ تُرِكَتْ عَلَى حَالِهَا وَلَمْ تُعَرَّبْ
Dan siapa yang membaca dengan Ibraham maka ia adalah Bahasa Ibrani yang dikekalkan dalam keadaannya tanpa dii’rabkan(tanpa dilibatkan peletakan harakat).
Dan disebutkan oleh Abu Hasan As-Sulami bahawa adalah Penduduk Syam dahulunya membaca perkataan Ibrahim dengan alif (Ibraham) pada sebahagian tempat kemudian mereka meninggalkannya. Perkara ini disebutkan Abu Syamah di dalam Ibrazul Maani min Hirzil Amani.
Oleh kerana itu Al-Imam As-Sakhawi menyebut di dalam Fathul Wasid :
وَجْهُ رَسْمِهِ : التَّنْبِيهُ عَلَى قِرَاءَةِ ( إِبْرَاهَام ) وَحُذف الألف منه اختصاراً .
Wajah penulisan (tanpa ya’) menunjukkan peringatan adanya bacaan Ibraham dan dibuangkan alif tersebut untuk meringkaskan.
2-kerana Surah Al-Baqarah sebahagian besarnya menceritakan tentang Bani Israil dan memang Bani Israil menyebutnya Ibraham. Ini adalah seperti yang disebut oleh Al Azhari bahawa Ibraham adalah perkataan berbahasa Ibrani. Maka munasabah penulisan dengan dibuang ya’.

والله أعلم




DENGUNG IDGHAM NAQISH (الإِدْغَامُ النَّاقِصُ)

 DENGUNG IDGHAM NAQISH (الإِدْغَامُ النَّاقِصُ)

Semua kita tahu, apabila nun mati atau tanwin bertemu dengan huruf waw atau ya’, kita perlu membaca dengung. Sebahagian yang telah mahir tajwid pula sudah sampai tahap menghafaz nama hukumnya iaitu Idgham Maal Ghunnah dan Idgham Naqish.
Saya di sini hanya ingin menyentuh tentang cara mengeluarkan suara dan dengungnya sahaja iatu dengan memastikan suara dari mulut ( صَوْتُ الفَمَوِىّ ُ) dikeluarkan seimbang dengan suara hidung iaitu dengungnya (غنة). Maksudnya, 50% suara keluar dari mulut, dan 50% lagi dari hidung(غنة). Jika salah, bunyinya akan pelik.
Cuba sebut مَن يَعْمَلْ .
Jika anda bawa semua suara ke hidung , bunyinya akan terlalu sengau dan tidak sedap didengar. Begitu juga jika suara anda lebihkan pengeluarannya dari mulut. Bunyinya kasar dan tidak enak didengar. Justeru seimbangkan.