Sabtu, 8 Mei 2021

I’JAZ AL QURAN ATAU TA’JIZ AL QURAN?

 I’JAZ AL QURAN ATAU TA’JIZ AL QURAN?

Kita lawan musuh. Musuh dengan kekuatannya 100% dan kita menang. Itu I'jaz.
Kita lawan musuh. Kita lumpuhkan kekuatannya dengan mengikat tangan dan kakinya sebagai contoh. Lalu kita pukul dia dan kita anggap kita menang. Itu Ta'jiz.
Kita sedia tahu, Allah mencabar para penyair Arab mendatangkan sebuah kitab seperti Al Quran atau hanya satu surah seperti Al Quran jika mereka mampu. Tetapi tiada seorangpun di kalangan mereka yang mampu mendatangkannya. Ini kerana bahasa Al Quran terlalu indah untuk ditandingi.
🔶 MAZHAB AHLI SIRFAH (ِأَهْلُ الْصِّرفَة)
🔹 Mazhab ini berkait dengan perbincangan I’jaz Al Quran. Dr Muhammad Ali Shobuni menyebut tentangnya di dalam At Tibyannya. Ia dibawa oleh seorang Ulama’ Mu’tazilah bernama Abu Ishaq An Nizam.
🔹Dasar Mazhab ini ialah berpegang bahawa Allah menjadikan Fusaha’ Arab dan penyairnya lemah untuk mendatangkan yang seperti Al Quran sedangkan mereka pada hakikatnya mampu untuk mendatangkannya.
Pendapat ini ternyata salah, kerana hakikatnya Allah tidak menyekat kemampuan mereka. Kefasihan mereka tidak dilumpuhkan. Tetapi merekalah yang lemah untuk mendatangkan sepertimana Al Quran.
🔹Perkataan Ahli Sirfah ini sebenarnya tidak berbeza perkataan Musyrikin di dalam Ayat 24 Surah Al Muddatsir:
فَقَالَ إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ يُؤْثَرُ
Lalu dia berkata: "(Al Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari (dari orang-orang dahulu).
🔹Di dalam tajuk ini juga, Allamah As Sobuni mengkritik Al Imam Ibnu Hazim Al Andalus yang menyebutkan kalam seakan membawa makna sama dengan pendirian kelompok ini di dalam nas kitabnya Al Fasl Fi Al Milali Wa An Nihal (الفصل في الملل والنحل ). Kata Ibnu Hazim :
إِنَّ كَلَامَ اللهِ تَعَالَى غَيْرُ مُعْجِزٍ وَلَكِنْ لَمَّا قَالَهُ اللهُ تَعَالَى وَجَعَلَهُ كَلَامًا لَهُ أَصَارَهُ مُعْجِزًا وَمَنَعَ مِنْ مُمَاثَلَتِهِ ...
“Sesungguhnya kalam Allah tidak Mu’jiz, tetapi tatkala Allah Ta’ala mengucapkannya dan menjadikan kalam bagiNya, Allah menjadikannya Mu’jiz dan menegah dari penyerupaannya...”.
Perkataan beliau وَمَنَعَ مِنْ مُمَاثَلَتِهِ (menegah dari penyerupaannya)menunjukkan seakan-akan beliau berdiri di atas pandangan yang sama dengan kumpulan ini.
Seakan Allah mendatangkan suatu penghalang yang menghilangkan kemampuan dan bakat semulajadi mereka bersama cabaranNya mendatangkan yang seperti Al Quran.
🔶 DALIL MENOLAK
1- Jika benar kata Ahli sirfah, maka jadilah ia TA’JIZ dan bukannya I’JAZ. Kerana ketika itu ia seperti kita memotong lidah seseorang kemudiannya kita suruh dia bercakap. Makai ia bukan lagi I’jaz(menzahirkan lemahnya musuh) tetapi ta’jiz (melemahkan musuh dengan menghilang keupayaannya). Kata penyair :
أَلْقَاهُ فِى اليَمِّ مَكْتُوفًا وَقَالَ لَهُ إِيَّاكَ إِيَّاك أَنْ تَبْتَلَّ بِالمَاءِ
“Dia membuangnya dengan tangan terikat ke dalam lautan # (lalu dikatakan) jaga jaga jangan sampai engkau lemas di dalam air”.
2- Kalaulah benar apa yang mereka dakwa, nescaya Musyrikin Arab akan menyebutkan halangan tersebut kepada manusia sebagai alasan tidak dapat menandingi Al Quran. Dan sudah pasti akan kurang kefasihan mereka selepas turunnya Al Quran berbanding sebelumnya. Tetapi, orang Arab tidak pernah hilang kefasihannya walau Al Quran telah diturunkan.
Huraian : Nescaya mereka akan mengatakan : “ bukan kami tidak mampu menandingi Al Quran tetapi kemahiran dan kemampuan bahasa kami direnggut tiba-tiba”.
Wallahu a’lam,


Hanif Azmir 9 April 2021 Nibong Tebal


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

الحمدلله الله اكبر
TOLONG SHARE KEPADA ORANG LAIN SEMOGA MANFAAT DAN MISI BANTERAS BUTA AL-QURAN INI MENDAPAT SAMBUTAN DARI UMAT ISLAM.. INSYAALLAH.. آمين‎
💖 BANTU KAMI 🙏 🇲🇾 TEKAN BUTANG LIKE 👍 DAN SHARE📢📢
جزاك الله

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.