Sabtu, 29 Mei 2021

𝗠𝗔𝗞𝗛𝗥𝗔𝗝 : 𝗚𝗔𝗠𝗕𝗔𝗥 𝗦𝗔𝗛𝗔𝗝𝗔 𝗧𝗜𝗗𝗔𝗞 𝗠𝗘𝗠𝗔𝗗𝗔𝗜

 𝗠𝗔𝗞𝗛𝗥𝗔𝗝 : 𝗚𝗔𝗠𝗕𝗔𝗥 𝗦𝗔𝗛𝗔𝗝𝗔 𝗧𝗜𝗗𝗔𝗞 𝗠𝗘𝗠𝗔𝗗𝗔𝗜

Syeikh Dr Aiman Rusydi Suwaid ketika menyentuh tentang kesalahan yang banyak berlaku pada الياء المحققة (ya bukan mad) menyebutkan salah satunya ialah :
المَبَالَغَةُ فِى الضَّغْطِ عَلَى وَسَطِ اللِّسَانِ
Keterlaluan pada menekankan atas tengah lidah.
Maksudnya ialah keterlaluan pada menekankan tengah lidah pada lelangit atas. Contohnya pada kata ( إِيَّاكَ ) dan (أَيْنَمَا).
Secara tidak langsung, kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa, menekankan tengah lidah ke lelangit atas TIDAK SALAH bahkan di situlah makhraj ya bukan mad yang tepat. Yang salahnya ialah ‘KETERLALUAN MENEKAN’.
Masalah timbul, bila kita hanya memahami makhraj melalui gambar. Sebahagian gambar (rujuk gambar 1)menunjukkan bahawa tidak berlaku sentuhan di antara tengah lidah dan lelangit atas ketika menyebutkan ya bukan mad. Kita akan ragu. Huraian guru atau gambar yang betul.
KESIMPULAN :
1- Gambar yang lebih menunjukkan makhraj ya muhaqqaqah yang tepat ialah gambar kedua. Gambar ini saya ambil dari kitab Nab’u Ar Rayyan fi tajwidi kalam Ar Rahman karangan Syeikh Muhammad bin Muhammad Bahur Mathr. Adapun gambar pertama, ia juga betul, tetapi jika tidak difahami melalui huraian, ia boleh menimbulkan keraguan.
2- Jangan terlalu bergantung pada gambar makhraj yang ditemui di dalam kitab atau internet untuk memahami makhraj. Kita perlu dengar sendiri syarah dan huraian ulama’ dan guru.
3- Sebahagian para ulama’ kurang bersetuju dengan penggunaan alat elektronik moden untuk menentukan makhraj seperti Stroboscopy, palatometer dan sebagainya.
TANBIH :
Ya Mad : tiada sentuhan tengah lidah pada lelangit.
Ya bukan mad pula, termasuklah di sini ya lin seperti padaقُرَيْشٍ : berlaku sentuhan ringan di antara tengah lidah dengan lelangit apatah lagi ketika lin. Perincian pada Mad Lin saya akan huraikan pada kesempatan yang lain InsyaAllah.
Wallahu a’lam. Hanif Azmir bin Hassim Nibong Tebal 29 Mei 2021



𝙈𝙐𝙎𝙃𝘼𝙁 𝙔𝘼𝙉𝙂 𝘽𝘼𝙄𝙆 𝙏𝙐𝙇𝙄𝙎𝘼𝙉𝙉𝙔𝘼

 𝙈𝙐𝙎𝙃𝘼𝙁 𝙔𝘼𝙉𝙂 𝘽𝘼𝙄𝙆 𝙏𝙐𝙇𝙄𝙎𝘼𝙉𝙉𝙔𝘼

Ada di pasaran, mushaf yang tulisannya sangat cantik tetapi agak sukar dibaca. Bila kita baca, rasa tak ‘lajak’. Ada mushaf pula yang khatnya sederhana, cantik tetapi bukan paling cantik, tetapi senang nak baca. Rasa ‘lajak’ nak baca. Pilihlah yang ini. Yang sesuai dengan mata anda. Kerana tulisan yang tercantik tidak semestinya yang
terbaik
.
Yahya bin Muaz berkata :
أَشْتَهِى مِنَ الدُّنْيَا شَيْئَيْنِ : بَيْتًا خَالِيًا وَمُصْحَفًا جَيِّدَ الخَطِّ أَقْرَأُ فِيهِ القُرْآنَ.
Aku dambakan dari dunia ini dua perkara : rumah yang kosong (jauh dari kebisingan) dan mushaf yang tulisannya baik, padanya aku membaca Al Quran.
Ini disebut Imam al Qurthubi di dalam At Tizkar fi afdhal al Azkar.





Ahad, 23 Mei 2021

Formula MAD LAZIM HARFI (مد لازم حرفي) Belajar Cara Membaca AlQuran M.s ...

𝐘𝐀 𝐌𝐀𝐃 𝐕𝐒 𝐘𝐀 𝐒𝐄𝐁𝐄𝐍𝐀𝐑

 𝐘𝐀 𝐌𝐀𝐃 𝐕𝐒 𝐘𝐀 𝐒𝐄𝐁𝐄𝐍𝐀𝐑

Ketika saya mengatakan, tengah lidah tidak boleh menyentuh lelangit atas ketika menyebut Ya Mad, seorang Ustazah Al Quran bertanya. “Saya baca, lidah sentuh lelangit Ustaz. Kenapa ya Ustaz?".
🔶 JAWAPAN:
1- Sebenarnya, kesalahan pembaca di sini ialah terlalu berlebihan mengangkat tengah lidah. Pembaca perlu bezakan sebutan ya mad seperti إِيمَانًا dengan ya bukan mad seperti إِيَّاكَ. Ketika menyebut ya mad (إِيمَانًا), tengah lidah terangkat tetapi tidak menyentuh lelangit adapun ketika menyebut ya bukan mad (إِيَّاكَ), tengah lidah akan terangkat dan akan berlaku sentuhan pada lelangit.
2- Ya Mad ialah ya mati dan sebelumnya huruf berbaris kasrah. Contohnya كِى, مِى , dan سِى . Selain itu, semuanya adalah ya bukan mad seperti ذَوَاتَىْ dan يَدْعُونَ .
3- Makhraj huruf ada dua. Makhraj Muhaqqaq yang menjadi tempat keluar semua huruf kecuali huruf Mad dan Makhraj Muqaddar yang menjadi tempat keluar tiga huruf mad. Ya mad adalah berada pada makhraj muqaddar.
🔹 Makhraj Muqaddar (مخرج مقدر) ini dita’rifkan di dalam Taisir Ar Rahman sebagai :
هُوَ الذى لَا يَعْتَمِدُ عَلَى جُزِءٍ مُعَيَّنٍ مِنْ أَجْزَاءِ الحَلْقِ أَوِ اللِّسَانِ أَوِ الشَّفَتَيْنِ وَلَا يَنْتَهِى فِى نُقْطَةٍ مُحَدَّدَةٍ بَلْ يَنْتَهِى بِانْتِهَاءِ هَوَاءِ الزَّفِيرِ ...
Ia adalah apa yang tidak berpasak pada bahagian tertentu samada dari kerongkong, lidah atau bibir dan ianya tidak terhenti pada satu titik yang terbatas. Bahkan ia terhenti dengan terhentinya hembusan udara.
🔶 HURAIAN TEKS :
Makhraj muqaddar ini ialah makhraj yang dikadarkan sahaja. yang tidak dapat ditentukan titik tepatnya.
▪Jika orang bertanya kita, “ di mana makhraj Ba’ secara tepatnya?”. Kita boleh jawab : “ dua bibir yang dirapatkan”.
▪Jika orang bertanya kita lagi , “ di mana makhraj Qaf secara tepat?”. Kita boleh jawab : “ di bahagian lelangit lembut iaitu apabila pangkal lidah menyentuhnya”.
▪Tetapi jika ditanya : “di mana makhraj ya mad secara tepat?”. Kita kelu. Kita hanya mampu sebut “rongga”. Tapi kita tidak mampu menyebut titik tepat makhrajnya kerana memang tiada titik tepat.
Maka oleh itu, menyebut ya mad seperti كِى, مِى , dan سِى dan mengenakan tengah lidah ke lelangit adalah salah. Ia telah mengubah ya mad menjadi ya sebenar. Ini kerana, telah berlaku perubahan dari makhraj muqaddar kepada makhraj muhaqqaq. Dari huruf jaufiyyah kepada syajriyyah.
KESIMPULAN :
Ya mad : tiada sentuhan tengah lidah pada lelangit.
Ya bukan mad : berlaku sentuhan ringan di atara tengah lidah dengan lelangit.
Wallahu A’lam. Hanif Azmir bin Hassim Nibong Tebal 23 Mei 2021


Soalan:Ustadz, nak tanya
😁
Utk huruf Ya ada sentuh lelangit? Saya perasan yg saya sebut tusgt dekat dgn lelangit tapi tak sentuh lagi..
Dan bolehkah saya fahamkan huruf ya pertengahan lidah diangkat lebih tinggi dari mad ya..

Jawapan: Huruf Syajriyyah ada tiga iaitu jim, syin dan Ya bukan mad.
Makhraj ketiganya ialah tengah lidah terangkat dan sentuh lelangit atas. Cuma ada beberapa beza. Antaranya tahap sentuhan.
Ya bukan mad seperti يوم dan يوقنون akhi, tengah lidah akan sentuh tetapi sangat ringan. Sama juga Syin, ada sentuhan tetapi ringan. berbeza dengan jim, sentuhannya kuat.
Justeru bila baca ya bukan mad, kita rasa macam lidah tak setuh sebab terlalu ringan sentuhannya

Sabtu, 22 Mei 2021

BERAPA JUMLAH SEBENAR TINGKATAN BACAAN?

 BERAPA JUMLAH SEBENAR TINGKATAN BACAAN?

Soalan ini pernah ditimbulkan seorang lepasan Shoubra, Mesir. Jadi saya tolong cari. Semoga ada manfaat terutama untuk guru-guru Al Quran.
Syeikh Aiman Ahmad Ahmad Said, Syeikh Muqri’ di Masjid Al Nabawi menyebutkan bahawa di dalam kitab-kitab tajwid hari ini disebutkan dua pendapat.
🔹 PENDAPAT 1 :
Terdapat tiga tingkatan iaitu Tartil, Hadar dan Tadwir.
🔹 PENDAPAT 2 :
Terdapat 4 tingkatan iaitu Tartil, Hadar, Tadwir dan ditambah satu iaitu Tahqiq.
Lalu katanya lagi, menyimpulkan :
والصَّوابُ إن شَاءَ اللَّهُ أَنَّ التَرْتِيلَ يُشْمِلُ التَّحْقِيقَ وَالحَدْرَ وَالتَّدْوِيرَ، فَكُلُّ مَنْ يَقْرَأُ بِهَذِهِ المَرَاتِبِ الثلَاثِ مُؤْتَمَرٌ بِقَوْلِهِ تَعَالىَ: ((وَرَتِّلِ القُرْآنَ تَرْتِيلًا)).
Yang benar In sya Allah bahawasanya tartil itu merangkumi tahqiq, hadr, dan tadwir. Maka setiap yang membaca dengan tingkatan yang tiga ini (tahqiq, hadr dan tadwir) adalah terhimpun pada firman Taala “ وَرَتِّلِ القُرْآنَ تَرْتِيلًا". Bacalah Al Quran dengan tartil.
🔶 KESIMPULAN
Saya berpendapat bahawa apa yang disebutkan Syeikh Aiman Ahmad Ahmad Said itu adalah pendapat yang paling tepat iaitu tingkatan bacaan hanya 3 iaitu tahqiq, hadr dan tadwir. Dan semua itu mencakupi makna tartil. Dalilnya:
◾1- Ia disebut sendiri oleh ulama’ yang dianggap sebagai ketua ulama’ al Quran iaitu Al Imam Ibnu Al Jazari di dalam kitabnya Toyyibah An Nasyr :
وَيُقْرَأُ الْقُرْآنُ بِالتَّـحْقِيقِ مَعْ حَدْرٍ وَتَدْوِيرٍ وَكُلُّ مُتَّبَعْ
مَعْ حُسْنِ صَوتٍ بِلُحُونِ الْعَرَبِي مُرَتَّلاً مُجَوَّداً بِالْعَرَبِي
Dan dibaca Al Quran itu dengan Tahqiq, bersama Hadr dan Tadwir, dan semuanya diikuti #
Bersama suara yang baik dengan lahjah arab secara tartil , bertajwid dan dengan Bahasa Arab #
◾2- Syeikh Ibrahim Muhammad al Jarmi menyebut : “ Kalaulah tartil dijadikan satu tingkatan yang lain, nescaya tahqiq, hadr dan tadwir tidak lagi dianggap tartil. Sedangkan semua bacaan Al Quran tidak dibaca melainkan dengan tartil”.
◾3- Kata sekumpulan Ulama' Jordan yang mengarang Al Munir fi ahkam At Tajwid secara berjemaah :
فَالتَّرْتِيلُ صِفَةٌ لِلقِرَاءَةِ المُلْتَزَمَةِ بِأَحْكَامِ التَّجْوِيدِ فِي جَمِيعِ هَذِهِ المَرَاتِبِ الثَّلَاثِ
Maka Tartil adalah sifat bagi bacaan yang dilazimi dengan (menjaga) hukum-hakam tajwid pada semua tingkatan yang tiga ini.
🔸Maksud : Para ulama’ ini berpendapat bahawa tartil adalah sifat bacaan bukan tingkatan bacaan.
🔸Huraian : Contohnya ada tiga kumpulan pelajar, kumpulan darjah satu, darjah dua dan darjah tiga. Mereka berbeza darjah tetapi semua mereka masih disifatkan sebagai kanak-kanak.
◾4- Ramainya ulama dan para pengarang kitab yang berpegang bahawa tingkatan bacaan hanya tiga iaitu tahqiq, hadr dan tadwir. Di antaranya Syeikh Ibrahim As Samannudi, Dr Aiman Suwaid, Dr. Suad Abdul Hamid, Syeikh Muhammad Mahmud Abdul 'Alim dan selain mereka.
Pun begitu, kita sangat menghormati pandangan ulama lain yang mengatakan bahawa tartil adalah salah satu martabat bacaan. Di antara mereka ialah Syeikh Usman bin Sulaiman Murad, Syeikh Mahmud Ra’fat Muhammad Zalth, Syeikh Kamil Muhammad Al Masiri dan selain mereka.
Hanif Azmir bin Hassim 20 Mei 2021 Nibong Tebal



Selasa, 11 Mei 2021

36 Surah Yaasin Ayat 01-70 M.s 440-444 Juz 22-23 Bacaan Al Quran Di Mas...

KEMULIAAN MENGAJAR KANAK-KANAK

 KEMULIAAN MENGAJAR KANAK-KANAK

Tiada istilah, “Mak cik tak larat dah Ustaz. Dah 20 tahun mengajar Al Quran di kampung ni. Bagi Ustazah-ustazah muda pula sambung ajar anak-anak ini”. Teruskan wahai guru Al Quran selagi kudrat masih ada. Biar malaikat menjadi saksi, engkau menghembus nafas yang terakhir sebagai guru al Quran.
Ada beberapa perkara menarik berkait tajuk ini yang disebut Imam Abu Al Laits As Samarkandi ( wafat 373 H) di dalam kitabnya berjudul Bustan Al ‘Arifin:
1- Kata Ibrahim An Nakhaie (wafat 96 H), ulama’ agung bumi Kufah : Pengajar kanak-kanak itu para Malaikat sentiasa memohon ampun baginya, begitu juga binatang di bumi, burung di udara dan ikan di lautan.
2- Dikatakan : Sesungguhnya seorang kanak-kanak, apabila dia masuk menemui para guru dan belajar membaca:
بسم الله الرحمن الرحيم
Maka Allah akan mengampunkan tiga jiwa : ayahnya, ibunya dan gurunya. Nasnya :
وَيُقَالُ : إِنَّ الصَّبِيَّ إِذَا دَخَلَ الكُتَّابَ وَتَعَلَّمَ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ غَفَرَ اللهُ بِذَلِكَ لِثَلَاثَةِ أَنْفُسِ : الأَبِ وَالأُمِّ وَالمُعَلِّمِ.
3- Sahabat Nabi yang mulia, Abu Said Al Khudri(wafat 63 H) berkata :
مَنْ عَلَّمَ ابْنَهُ أَوِ ابْنَتَهُ شَيْئًا مِنَ القُرْآنِ فَلَهُ بِكُلِّ دِرْهَمٍ أَعْطَاهُ لِلْمُعَلِّمِ وَزْنُ جَبَلِ أُحُدٍ, وَإِذَا خَرَجَ الصَّبِيُّ مِنْ بَيْتِهِ إِلَى الكُتَّابِ, يَكْثُرُ الخَيْرُ فِى بَيْتِ وَالِدِهِ وَيَقِلُّ الشَّرُّ فِيهِ وَيَهْرُبُ الشَّيْطَانُ مِنْهُ.
Siapa yang memberi didikan kepada anak lelakinya atau anak perempuannya sesuatu dari Al Quran, maka bagi setiap dirham yang dia berikan kepada guru seperti timbangan Gunung Uhud, Apabila apabila anaknya itu keluar dari rumah ke rumah para guru, maka bertambahlah kebaikan di dalam rumah ayahnya, dan sedikitlah keburukan dan larilah syaitan daripadanya.
4- Berkata Mufassir agung dari Basrah, Imam Hasan Al Basri (wafat 110H), sesiapa yang mengajarkan anaknya Al Quran, Allah akan memakaikannya tiga helai sutera syurga, yang setiap helaiannya lebih baik dari apa yang berasal dan berada di dunia.(Itu adalah ketika) manusia tidak berpakaian…
Ya Allah jemputlah kami sebagai pencinta dan guru Al Quran walau hanya kepada anak dan cucu sendiri.



Sabtu, 8 Mei 2021

TARJI’ DI DALAM TILAWAH DAN HUKUMNYA


TARJI’ DI DALAM TILAWAH DAN HUKUMNYA
Syeikh Abdul Rahman Sudais melakukan Tarji’ pada ولا الضالين. Syeikh Mahir Muaqili, Syeikh Yasir Ad Dusuri serta Qari-Qari Mujawwad Mesir seperti Al Marhum Syeikh Mustofa Ismail juga melakukannya bahkan hampir keseluruhan bacaan mereka diisi dengan Tarji'. Tetapi, anda perlu tahu, kebanyakan Ahli Quran Syiria sangat tidak sukakan Tarji’. Sehingga sebahagian mereka memberi fatwa bahawa semua ulama’ menolak Tarji’ (اتفق أهل الأداء على منع الترجيع). Persoalannya, apa itu Tarji’ ?.
TARJI’ DI DALAM BACAAN
Dr Nasir bin Suud Al Qutsami di dalam kitabnya Mafhum At Tarji’ menyebutkan pandangan Imam Ibnu Katsir tentang makna Tarji’:
التَّرْجِيعُ التَّرْدِيدُ فِى الصَّوْتِ
Tarji' : Turun naik (nada) suara.
Al Hamazani pula menyebutkan :
التَّرْجِيعُ تَكْرِيرُ الصَّوتِ بِالمَدِّ, رَجَّعَ الرُّجُلُ فِى قِرَاءَتِهِ إِذَا كَرَّرَ صَوتَهُ بِالمَدِّ.
“Tarji’ ialah menaik nurunkan nada ketika bertemu Mad. (dikatakan) lelaki itu mentarji’kan bacaannya apabila dia mengulang-ulang (merendah serta meninggi suara) pada mad ”.
Huraian : Mudahnya, TARJI’ ialah turun naik nada suara dan bunga-bunga suara.
DALIL TARJI’
Dalilnya yang paling kuat ialah hadis yang diriwayatkan Al Bukhari dari Abdullah bin Mughaffal yang berkata:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْفَتْحِ عَلَى نَاقَةٍ لَهُ يَقْرَأُ سُورَةَ الْفَتْحِ أَوْ مِنْ سُورَةِ الْفَتْحِ فَرَجَّعَ فِيهَا .
Kata Abdullah bin Mughaffal : Aku melihat Rasulullah pada hari pembukaan Mekah berada di atas untanya membaca Surah Al Fath dan melakukan tarji’ padanya.
Huraian : Suara Nabi dinaik dan diturunkan ketika membaca Surah Al Fath. Nabi membaca tidak hanya senada. Ini adalah untuk menjinakkan hati Musyrikin dengan bacaan Al Quran yang baik.
Sebahagian ulama’ tidak bersetuju hadis ini menjadi dalil Tarji’ . Mereka mengatakan bahawa, berlakunya tarji’ di sini adalah kerana goyangan unta. Bukan Nabi yang ‘menggoyangkan’ suaranya tetapi kerana kesan gegaran dari unta menyebabkan suara Nabi bergegar.
JAWAPAN :
Kita menolak pandangan ini kerana:
1- Terdapat hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah di dalam Musannafnya bahawa Ummu Hani’ RA mendengar Nabi membaca Al Quran di rumah dengan tarji’. Hadis ini dihasankan Syeikh al Albani. Jelas di sini, ketika berada di rumah pun Nabi melakukan Tarji’.
2- Ketika menafsirkan hadis Abdullah bin Mughaffal di atas, ramai ulama’ cenderung mengatakan Nabi memang melakukan Tarji’. Dr Nasir bin Suud Al Qutsami menyebut :
Ramai di kalangan Para ulama’ cenderung mengatakan bahawa Tarji’ yang terdapat di dalam Hadis membawa makna berlagu di dalam pembacaan, memperindahkan suara dan menghiasinya, melagukannya dan mengulang alikkannya di kerongkong dan ia adalah satu jenis dari jenis jenis berlagu yang diperintahkan atau satu sifat dari sifat-sifatnya dan Nabi memang sengaja melakukannya(bukan kerana goyangan unta).
Menguatkannya hadis riwayat An Nasaie di mana Abdullah bin Mughaffal berkata : “ Rasulullah membaca Surah al Fath pada hari pembukaan Mekah, dan aku tidak menemui satu bacaan yang lebih baik darinya, dia melakukan Tarji’”.
Dari apa yang saya telah huraikan, jelas bahawa Tarji’ adalah perkara yang baik dan sunnah Rasulullah. Pun begitu, nasihat saya untuk diri dan semua :
1- Pembaca perlu berhati-hati dan tidak berlebihan melakukan Tarji’ sehingga terlebih harakat. Jika ia berlaku, maka ia bertukar menjadi tarqish(الترقيص) yang dilarang.
2- Adalah lebih baik bacaan kita tidak terlalu berbunga bunga yang keterlaluan kerana itu ghuluw dalam bacaan.



Hanif azmir bin Hassim Nibong Tebal 3 Mei 2021

I’JAZ AL QURAN ATAU TA’JIZ AL QURAN?

 I’JAZ AL QURAN ATAU TA’JIZ AL QURAN?

Kita lawan musuh. Musuh dengan kekuatannya 100% dan kita menang. Itu I'jaz.
Kita lawan musuh. Kita lumpuhkan kekuatannya dengan mengikat tangan dan kakinya sebagai contoh. Lalu kita pukul dia dan kita anggap kita menang. Itu Ta'jiz.
Kita sedia tahu, Allah mencabar para penyair Arab mendatangkan sebuah kitab seperti Al Quran atau hanya satu surah seperti Al Quran jika mereka mampu. Tetapi tiada seorangpun di kalangan mereka yang mampu mendatangkannya. Ini kerana bahasa Al Quran terlalu indah untuk ditandingi.
🔶 MAZHAB AHLI SIRFAH (ِأَهْلُ الْصِّرفَة)
🔹 Mazhab ini berkait dengan perbincangan I’jaz Al Quran. Dr Muhammad Ali Shobuni menyebut tentangnya di dalam At Tibyannya. Ia dibawa oleh seorang Ulama’ Mu’tazilah bernama Abu Ishaq An Nizam.
🔹Dasar Mazhab ini ialah berpegang bahawa Allah menjadikan Fusaha’ Arab dan penyairnya lemah untuk mendatangkan yang seperti Al Quran sedangkan mereka pada hakikatnya mampu untuk mendatangkannya.
Pendapat ini ternyata salah, kerana hakikatnya Allah tidak menyekat kemampuan mereka. Kefasihan mereka tidak dilumpuhkan. Tetapi merekalah yang lemah untuk mendatangkan sepertimana Al Quran.
🔹Perkataan Ahli Sirfah ini sebenarnya tidak berbeza perkataan Musyrikin di dalam Ayat 24 Surah Al Muddatsir:
فَقَالَ إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ يُؤْثَرُ
Lalu dia berkata: "(Al Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari (dari orang-orang dahulu).
🔹Di dalam tajuk ini juga, Allamah As Sobuni mengkritik Al Imam Ibnu Hazim Al Andalus yang menyebutkan kalam seakan membawa makna sama dengan pendirian kelompok ini di dalam nas kitabnya Al Fasl Fi Al Milali Wa An Nihal (الفصل في الملل والنحل ). Kata Ibnu Hazim :
إِنَّ كَلَامَ اللهِ تَعَالَى غَيْرُ مُعْجِزٍ وَلَكِنْ لَمَّا قَالَهُ اللهُ تَعَالَى وَجَعَلَهُ كَلَامًا لَهُ أَصَارَهُ مُعْجِزًا وَمَنَعَ مِنْ مُمَاثَلَتِهِ ...
“Sesungguhnya kalam Allah tidak Mu’jiz, tetapi tatkala Allah Ta’ala mengucapkannya dan menjadikan kalam bagiNya, Allah menjadikannya Mu’jiz dan menegah dari penyerupaannya...”.
Perkataan beliau وَمَنَعَ مِنْ مُمَاثَلَتِهِ (menegah dari penyerupaannya)menunjukkan seakan-akan beliau berdiri di atas pandangan yang sama dengan kumpulan ini.
Seakan Allah mendatangkan suatu penghalang yang menghilangkan kemampuan dan bakat semulajadi mereka bersama cabaranNya mendatangkan yang seperti Al Quran.
🔶 DALIL MENOLAK
1- Jika benar kata Ahli sirfah, maka jadilah ia TA’JIZ dan bukannya I’JAZ. Kerana ketika itu ia seperti kita memotong lidah seseorang kemudiannya kita suruh dia bercakap. Makai ia bukan lagi I’jaz(menzahirkan lemahnya musuh) tetapi ta’jiz (melemahkan musuh dengan menghilang keupayaannya). Kata penyair :
أَلْقَاهُ فِى اليَمِّ مَكْتُوفًا وَقَالَ لَهُ إِيَّاكَ إِيَّاك أَنْ تَبْتَلَّ بِالمَاءِ
“Dia membuangnya dengan tangan terikat ke dalam lautan # (lalu dikatakan) jaga jaga jangan sampai engkau lemas di dalam air”.
2- Kalaulah benar apa yang mereka dakwa, nescaya Musyrikin Arab akan menyebutkan halangan tersebut kepada manusia sebagai alasan tidak dapat menandingi Al Quran. Dan sudah pasti akan kurang kefasihan mereka selepas turunnya Al Quran berbanding sebelumnya. Tetapi, orang Arab tidak pernah hilang kefasihannya walau Al Quran telah diturunkan.
Huraian : Nescaya mereka akan mengatakan : “ bukan kami tidak mampu menandingi Al Quran tetapi kemahiran dan kemampuan bahasa kami direnggut tiba-tiba”.
Wallahu a’lam,


Hanif Azmir 9 April 2021 Nibong Tebal


Bacaan Solat Tarawih 17 Surah Al-Israa’ Ayat 01-101 M.s 282-292 Juz 15

Bacaan Solat Tarawih 15 Surah Al-Hijr Ayat 01-99 M.s 262-267 Juz 14

Bacaan Solat Tarawih 16 Surah An-Nahl Ayat 01- 128 M.s 267-281 Juz 14

Bacaan Solat Tarawih 10 Surah Yunus Ayat 43-53 M.s 214 Juz 11

Bacaan Solat Tarawih 10 Surah Yunus Ayat 62- 70 M.s 216 Juz 11

Tahlil Makhsus لا إله إلا الله محمد رسول الله في كل لمحة ونفس عدد ما وسع...

Tadarus Al Quran 07 Surah Al-A’raaf Ayat 01-93 M.s 151-162 Juz 8/9

Tadarus Al Quran 04 Surah An-Nisaa’ Ayat 88-127 M.s 92-98 Juz 5

Rabu, 5 Mei 2021

7 ANGGOTA SUJUD

 7 ANGGOTA SUJUD

Anggota Yang DIHARAMKAN Kepada API NERAKA


Dari Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,


“Aku diperintahkan bersujud dengan tujuh bahagian anggota badan:


(1) Dahi (termasuk juga hidung), Baginda mengisyaratkan dengan tangannya,


(2,3) telapak tangan kanan dan kiri,


(4,5) lutut kanan dan kiri, dan


(6,7) hujung kaki kanan dan kiri. ( jari kaki)”


(HR : Bukhari & Muslim)


4 ANGGOTA BADAN Yang Tidak Akan Terkena Api Neraka


Allah s.w.t. mengharamkan kepada api neraka untuk makan anggota bekas yang digunakan untuk sujud.


Sabda Rasulullah s.a.w :


“Allah haramkan api neraka menyentuh anggota sujud pada keturunan Adam” (HR : Bukhari)


Anggota² ketika sujud 


1️⃣. Dahi.

2️⃣. Kedua² telapak tangan.

3️⃣. Kedua² lutut.

4️⃣. Kedua² perut jari² kaki (sekurang²nya dua jari)



Hal yang paling indah dari SUJUD..


"Saat kita berbisik di bumi itu terdengar hingga di langit, dan saat itu juga kita dekat dengan Sang Pencipta.

ALLAH Yang Maha Berkuasa"

Ahad, 2 Mei 2021

APA ITU LUTSGHAH ?

 APA ITU LUTSGHAH ?

Biasanya, seorang yang bibir bawah lebih terjuih ke depan berbanding bibir atas, dia akan sukar menyebut Sin dan selalunya ia bertukar menjadi Tsa’. Ini antara kesalahan yang dipanggil لُثْغَة. Pelakunya ini dipanggil أَلْثَغُ .
🔶 Di dalam Al Mu’jam Al Wasith, Lutsghah (لُثْغَة) diertikan sebagai :
تَحَوُّلُ اللِّسَانِ مِنْ حَرْفٍ إِلَى حَرْفٍ، كَقَلْبِ السِّينِ ثَاءً، وَالرَّاءِ غَيْنًا
Peralihan lidah dari suatu huruf kepada huruf (lain) seperti menukar Ta’ kepada Sin dan Ra’ kepada Ghain.
Maksudnya: Tidak mampu menyebut sebahagian huruf dan sebutan bertukar menjadi huruf lain.
Di dalam Al Bayan wa At Tabyin, Al Imam Abu Usman Al Jahizh menyatakan bahawa huruf yang berkemungkinan berlakunya Lutsghah ada empat iaitu Qaf, Sin, Ra’ dan Lam :
1- Qaf bertukar jadi Tho. Sehingga قُلْتُ لَهُ disebut طُلْتُ لَهُ .
2- Sin dibaca dengan Tsa. Dia akan menukarkan بِسْمِ اللهِ menjadi بِثْمِ الله .
3- Lam ditukar menjadi Ya. Sehingga جَمَلٌ disebut جَمَىٌ. Atau Lam itu ditukar menjadi Kaf. Lalu ketika ingin menyebut مَا العِلَّةُ فِى هَذَا berubahlah sebutannya menjadi مَكْعِكَّةُ فِى هَذَا .
4- Huruf Ra’ ditukar menjadi Ya atau Dzal. Sehingga عَمْرُو disebut عَمْذُو dan عَمْيُو . Juga kadang-kadang ditukar Ra’ menjadi Zho atau Ya. Sehingga مَرَّة bertukar menjadi مَظَّة atau مَيَّة .



Hanif Azmir Hassim Nibong Tebal 30 April 2021

TARJI’ DAN HUKUMNYA

 TARJI’ DAN HUKUMNYA

Syeikh Abdul Rahman Sudais melakukan Tarji’ pada ولا الضالين. Syeikh Mahir Muayqili dan Syeikh Yasir Ad Dusuri melakukan Tarji’ hampir di seluruh bacaan mereka. Hatta Syeikh Mustofa Ismail dan barisan Qari besar Mesir melakukannya.Tetapi, anda perlu tahu, kebanyakan Ulama’ al Quran Syiria sangat tidak sukakan Tarji’. Sehingga sebahagian mereka memberi fatwa bahawa semua ulama’ menolak Tarji’ (اتفق أهل الأداء على منع الترجيع). Persoalannya, apa itu Tarji’ ?.
TARJI’ DI DALAM BACAAN
Dr Nasir bin Suud Al Qutsami di dalam kitabnya Mafhum At Tarji’ menyebutkan pandangan Imam Ibnu Katsir tentang makna Tarji’:
التَّرْجِيعُ التَّرْدِيدُ فِى الصَّوْتِ
Tarji' : Turun naik (nada) suara.
Al Hamazani pula menyebutkan :
التَّرْجِيعُ تَكْرِيرُ الصَّوتِ بِالمَدِّ, رَجَّعَ الرُّجُلُ فِى قِرَاءَتِهِ إِذَا كَرَّرَ صَوتَهُ بِالمَدِّ.
“Tarji’ ialah menaik nurunkan nada ketika bertemu Mad. (dikatakan) lelaki itu mentarji’kan bacaannya apabila dia mengulang-ulang (merendah serta meninggi suara) pada mad ”.
Huraian : Mudahnya, TARJI’ ialah turun naik nada suara dan bunga-bunga suara.
DALIL TARJI’
Dalilnya yang paling kuat ialah hadis yang diriwayatkan Al Bukhari dari Abdullah bin Mughaffal yang berkata:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْفَتْحِ عَلَى نَاقَةٍ لَهُ يَقْرَأُ سُورَةَ الْفَتْحِ أَوْ مِنْ سُورَةِ الْفَتْحِ فَرَجَّعَ فِيهَا .
Kata Abdullah bin Mughaffal : Aku melihat Rasulullah pada hari pembukaan Mekah berada di atas untanya membaca Surah Al Fath dan melakukan tarji’ padanya.
Huraian : Suara Nabi dinaik dan diturunkan ketika membaca Surah Al Fath. Nabi membaca tidak hanya senada. Ini adalah untuk emjinakkan hati Musyrikin dengan bacaan Al Quran yang baik.
Sebahagian ulama’ tidak bersetuju hadis ini menjadi dalil Tarji’ . Mereka mengatakan bahawa, berlakunya tarji’ di sini adalah kerana goyangan unta. Bukan Nabi yang ‘menggoyangkan’ suaranya tetapi kerana kesan gegaran dari unta menyebabkan suara Nabi bergegar.
JAWAPAN :
Kita menolak pandangan ini kerana:
1- Terdapat hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah di dalam Musannafnya bahawa Ummu Hani’ RA mendengar Nabi membaca Al Quran di rumah dengan tarji’. Hadis ini dihasankan Syeikh al Albani. Jelas di sini, ketika berada di rumah pun Nabi melakukan Tarji’.
2- Ketika menafsirkan hadis Abdullah bin Mughaffal di atas, ramai ulama’ cenderung mengatakan Nabi memang melakukan Tarji’. Dr Nasir bin Suud Al Qutsami menyebut :
Ramai di kalangan Para ulama’ cenderung mengatakan bahawa Tarji’ yang terdapat di dalam Hadis membawa makna berlagu di dalam pembacaan, memperindahkan suara dan menghiasinya, melagukannya dan mengulang alikkannya di kerongkong dan ia adalah satu jenis dari jenis jenis berlagu yang diperintahkan atau satu sifat dari sifat-sifatnya dan Nabi memang sengaja melakukannya(bukan kerana goyangan unta).
Menguatkannya hadis riwayat An Nasaie di mana Abdullah bin Mughaffal berkata : “ Rasulullah membaca Surah al Fath pada hari pembukaan Mekah, dan aku tidak menemui satu bacaan yang lebih baik darinya, dia melakukan Tarji’”.
Dari apa yang saya telah huraikan, jelas bahawa Tarji’ adalah perkara yang baik dan sunnah Rasulullah. Pun begitu, nasihat saya untuk diri dan semua :
1- Pembaca perlu berhati-hati dan tidak berlebihan melakukan Tarji’ sehingga terlebih harakat. Jika ia berlaku, maka ia bertukar menjadi tarqish(الترقيص) yang dilarang.
2- Adalah lebih baik bacaan kita tidak terlalu berbunga bunga yang keterlaluan kerana itu ghuluw dalam bacaan.




Hanif azmir bin Hassim Nibong Tebal 3 Mei 2021.