Sabtu, 8 Mei 2021

TARJI’ DI DALAM TILAWAH DAN HUKUMNYA


TARJI’ DI DALAM TILAWAH DAN HUKUMNYA
Syeikh Abdul Rahman Sudais melakukan Tarji’ pada ولا الضالين. Syeikh Mahir Muaqili, Syeikh Yasir Ad Dusuri serta Qari-Qari Mujawwad Mesir seperti Al Marhum Syeikh Mustofa Ismail juga melakukannya bahkan hampir keseluruhan bacaan mereka diisi dengan Tarji'. Tetapi, anda perlu tahu, kebanyakan Ahli Quran Syiria sangat tidak sukakan Tarji’. Sehingga sebahagian mereka memberi fatwa bahawa semua ulama’ menolak Tarji’ (اتفق أهل الأداء على منع الترجيع). Persoalannya, apa itu Tarji’ ?.
TARJI’ DI DALAM BACAAN
Dr Nasir bin Suud Al Qutsami di dalam kitabnya Mafhum At Tarji’ menyebutkan pandangan Imam Ibnu Katsir tentang makna Tarji’:
التَّرْجِيعُ التَّرْدِيدُ فِى الصَّوْتِ
Tarji' : Turun naik (nada) suara.
Al Hamazani pula menyebutkan :
التَّرْجِيعُ تَكْرِيرُ الصَّوتِ بِالمَدِّ, رَجَّعَ الرُّجُلُ فِى قِرَاءَتِهِ إِذَا كَرَّرَ صَوتَهُ بِالمَدِّ.
“Tarji’ ialah menaik nurunkan nada ketika bertemu Mad. (dikatakan) lelaki itu mentarji’kan bacaannya apabila dia mengulang-ulang (merendah serta meninggi suara) pada mad ”.
Huraian : Mudahnya, TARJI’ ialah turun naik nada suara dan bunga-bunga suara.
DALIL TARJI’
Dalilnya yang paling kuat ialah hadis yang diriwayatkan Al Bukhari dari Abdullah bin Mughaffal yang berkata:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْفَتْحِ عَلَى نَاقَةٍ لَهُ يَقْرَأُ سُورَةَ الْفَتْحِ أَوْ مِنْ سُورَةِ الْفَتْحِ فَرَجَّعَ فِيهَا .
Kata Abdullah bin Mughaffal : Aku melihat Rasulullah pada hari pembukaan Mekah berada di atas untanya membaca Surah Al Fath dan melakukan tarji’ padanya.
Huraian : Suara Nabi dinaik dan diturunkan ketika membaca Surah Al Fath. Nabi membaca tidak hanya senada. Ini adalah untuk menjinakkan hati Musyrikin dengan bacaan Al Quran yang baik.
Sebahagian ulama’ tidak bersetuju hadis ini menjadi dalil Tarji’ . Mereka mengatakan bahawa, berlakunya tarji’ di sini adalah kerana goyangan unta. Bukan Nabi yang ‘menggoyangkan’ suaranya tetapi kerana kesan gegaran dari unta menyebabkan suara Nabi bergegar.
JAWAPAN :
Kita menolak pandangan ini kerana:
1- Terdapat hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah di dalam Musannafnya bahawa Ummu Hani’ RA mendengar Nabi membaca Al Quran di rumah dengan tarji’. Hadis ini dihasankan Syeikh al Albani. Jelas di sini, ketika berada di rumah pun Nabi melakukan Tarji’.
2- Ketika menafsirkan hadis Abdullah bin Mughaffal di atas, ramai ulama’ cenderung mengatakan Nabi memang melakukan Tarji’. Dr Nasir bin Suud Al Qutsami menyebut :
Ramai di kalangan Para ulama’ cenderung mengatakan bahawa Tarji’ yang terdapat di dalam Hadis membawa makna berlagu di dalam pembacaan, memperindahkan suara dan menghiasinya, melagukannya dan mengulang alikkannya di kerongkong dan ia adalah satu jenis dari jenis jenis berlagu yang diperintahkan atau satu sifat dari sifat-sifatnya dan Nabi memang sengaja melakukannya(bukan kerana goyangan unta).
Menguatkannya hadis riwayat An Nasaie di mana Abdullah bin Mughaffal berkata : “ Rasulullah membaca Surah al Fath pada hari pembukaan Mekah, dan aku tidak menemui satu bacaan yang lebih baik darinya, dia melakukan Tarji’”.
Dari apa yang saya telah huraikan, jelas bahawa Tarji’ adalah perkara yang baik dan sunnah Rasulullah. Pun begitu, nasihat saya untuk diri dan semua :
1- Pembaca perlu berhati-hati dan tidak berlebihan melakukan Tarji’ sehingga terlebih harakat. Jika ia berlaku, maka ia bertukar menjadi tarqish(الترقيص) yang dilarang.
2- Adalah lebih baik bacaan kita tidak terlalu berbunga bunga yang keterlaluan kerana itu ghuluw dalam bacaan.



Hanif azmir bin Hassim Nibong Tebal 3 Mei 2021

I’JAZ AL QURAN ATAU TA’JIZ AL QURAN?

 I’JAZ AL QURAN ATAU TA’JIZ AL QURAN?

Kita lawan musuh. Musuh dengan kekuatannya 100% dan kita menang. Itu I'jaz.
Kita lawan musuh. Kita lumpuhkan kekuatannya dengan mengikat tangan dan kakinya sebagai contoh. Lalu kita pukul dia dan kita anggap kita menang. Itu Ta'jiz.
Kita sedia tahu, Allah mencabar para penyair Arab mendatangkan sebuah kitab seperti Al Quran atau hanya satu surah seperti Al Quran jika mereka mampu. Tetapi tiada seorangpun di kalangan mereka yang mampu mendatangkannya. Ini kerana bahasa Al Quran terlalu indah untuk ditandingi.
🔶 MAZHAB AHLI SIRFAH (ِأَهْلُ الْصِّرفَة)
🔹 Mazhab ini berkait dengan perbincangan I’jaz Al Quran. Dr Muhammad Ali Shobuni menyebut tentangnya di dalam At Tibyannya. Ia dibawa oleh seorang Ulama’ Mu’tazilah bernama Abu Ishaq An Nizam.
🔹Dasar Mazhab ini ialah berpegang bahawa Allah menjadikan Fusaha’ Arab dan penyairnya lemah untuk mendatangkan yang seperti Al Quran sedangkan mereka pada hakikatnya mampu untuk mendatangkannya.
Pendapat ini ternyata salah, kerana hakikatnya Allah tidak menyekat kemampuan mereka. Kefasihan mereka tidak dilumpuhkan. Tetapi merekalah yang lemah untuk mendatangkan sepertimana Al Quran.
🔹Perkataan Ahli Sirfah ini sebenarnya tidak berbeza perkataan Musyrikin di dalam Ayat 24 Surah Al Muddatsir:
فَقَالَ إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ يُؤْثَرُ
Lalu dia berkata: "(Al Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari (dari orang-orang dahulu).
🔹Di dalam tajuk ini juga, Allamah As Sobuni mengkritik Al Imam Ibnu Hazim Al Andalus yang menyebutkan kalam seakan membawa makna sama dengan pendirian kelompok ini di dalam nas kitabnya Al Fasl Fi Al Milali Wa An Nihal (الفصل في الملل والنحل ). Kata Ibnu Hazim :
إِنَّ كَلَامَ اللهِ تَعَالَى غَيْرُ مُعْجِزٍ وَلَكِنْ لَمَّا قَالَهُ اللهُ تَعَالَى وَجَعَلَهُ كَلَامًا لَهُ أَصَارَهُ مُعْجِزًا وَمَنَعَ مِنْ مُمَاثَلَتِهِ ...
“Sesungguhnya kalam Allah tidak Mu’jiz, tetapi tatkala Allah Ta’ala mengucapkannya dan menjadikan kalam bagiNya, Allah menjadikannya Mu’jiz dan menegah dari penyerupaannya...”.
Perkataan beliau وَمَنَعَ مِنْ مُمَاثَلَتِهِ (menegah dari penyerupaannya)menunjukkan seakan-akan beliau berdiri di atas pandangan yang sama dengan kumpulan ini.
Seakan Allah mendatangkan suatu penghalang yang menghilangkan kemampuan dan bakat semulajadi mereka bersama cabaranNya mendatangkan yang seperti Al Quran.
🔶 DALIL MENOLAK
1- Jika benar kata Ahli sirfah, maka jadilah ia TA’JIZ dan bukannya I’JAZ. Kerana ketika itu ia seperti kita memotong lidah seseorang kemudiannya kita suruh dia bercakap. Makai ia bukan lagi I’jaz(menzahirkan lemahnya musuh) tetapi ta’jiz (melemahkan musuh dengan menghilang keupayaannya). Kata penyair :
أَلْقَاهُ فِى اليَمِّ مَكْتُوفًا وَقَالَ لَهُ إِيَّاكَ إِيَّاك أَنْ تَبْتَلَّ بِالمَاءِ
“Dia membuangnya dengan tangan terikat ke dalam lautan # (lalu dikatakan) jaga jaga jangan sampai engkau lemas di dalam air”.
2- Kalaulah benar apa yang mereka dakwa, nescaya Musyrikin Arab akan menyebutkan halangan tersebut kepada manusia sebagai alasan tidak dapat menandingi Al Quran. Dan sudah pasti akan kurang kefasihan mereka selepas turunnya Al Quran berbanding sebelumnya. Tetapi, orang Arab tidak pernah hilang kefasihannya walau Al Quran telah diturunkan.
Huraian : Nescaya mereka akan mengatakan : “ bukan kami tidak mampu menandingi Al Quran tetapi kemahiran dan kemampuan bahasa kami direnggut tiba-tiba”.
Wallahu a’lam,


Hanif Azmir 9 April 2021 Nibong Tebal


Bacaan Solat Tarawih 17 Surah Al-Israa’ Ayat 01-101 M.s 282-292 Juz 15

Bacaan Solat Tarawih 15 Surah Al-Hijr Ayat 01-99 M.s 262-267 Juz 14

Bacaan Solat Tarawih 16 Surah An-Nahl Ayat 01- 128 M.s 267-281 Juz 14

Bacaan Solat Tarawih 10 Surah Yunus Ayat 43-53 M.s 214 Juz 11

Bacaan Solat Tarawih 10 Surah Yunus Ayat 62- 70 M.s 216 Juz 11