Isnin, 7 Jun 2021

Formula Sifat Hamas (فَحَثَّهُ شَخْصٌ سَكَتْ) Belajar Membaca AlQuran M....

𝗞𝗘𝗦𝗔𝗟𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗤𝗔𝗟𝗤𝗔𝗟𝗔𝗛

 𝗞𝗘𝗦𝗔𝗟𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗤𝗔𝗟𝗤𝗔𝗟𝗔𝗛

Kesalahan ini banyak dilakukan masyarakat kita. Ini kerana, hanya yang teliti atau yang ditegur guru yang teliti akan menyedari. Cuba anda baca Surah Al Ikhlas.
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ
Samada ada kita sedar atau tidak, kadang kala, kita menutup suara huruf qalqalah dengan bunyi hamzah bukan dengan bunyi qalqalah yang tepat. Ketika itu, kita telah membawa suara ke makhraj hamzah iaitu di pangkal kerongkong. Maka jadilah bunyinya : أحدء, الصَّمدء, لَمْ يلدءdan seterusnya .
🔶Kata Dr Rihab Muhammad Mufid Syiqaqi, pengarang Hilyah At Tilawah :
“Antara kesalahan qalqalah …kedua : mengakhiri suara dengan hamzah. Maka kadang-kadang kita mendengar dari sebahagian pembaca baru, qalqalah dal bunyinya (أحدء) dan qaf bunyinya (الفلقء). Dan ini tidak betul selamanya, kerana ia adalah penambahan huruf pada kitab Allah”.
🔶 Untuk itu, pembaca perlu faham makna qalqalah dari sudut istilah. Pengarang Hilyah At Tilawah menyebut :
هِي إِخْرَاجُ الحَرْفِ المُقَلْقَلِ حَالَةَ سُكُونِهِ بِالتَّبَاعُدِ بَيْنَ طَرَفَيِ عُضْوِ النُّطْقِ دُونَ أنْ يُصَاحِبَهُ شَائِبَةُ حَرَكَةٍ مِنَ الحَرَكَاتِ الثَّلَاثِ (انفتاح للفم او انظمام الشفتين او انخفاض للفك السفلي).
Mengeluarkan huruf Qalqalah ketika sukunnya dengan 𝙢𝙚𝙣𝙟𝙖𝙪𝙝𝙠𝙖𝙣 𝙙𝙪𝙖 𝙝𝙪𝙟𝙪𝙣𝙜 𝙖𝙣𝙜𝙜𝙤𝙩𝙖 tanpa mengiringinya pencampuran harakat dari harakat yang tiga. (membuka mulut atau memuncungkan dua bibir atau menurunkan rahang bawah.)
HURAIAN :
1- Qalqalah adalah sifat yang berlaku ketika huruf qalqalah itu dimatikan.
2- Cara mengeluarkan 𝙝𝙪𝙧𝙪𝙛 𝙦𝙖𝙡𝙦𝙖𝙡𝙖𝙝 yang lima ialah dengan merapatkan dua anggota tetapi cara mengeluarkan 𝙦𝙖𝙡𝙦𝙖𝙡𝙖𝙝 adalah dengan menjauhkan dua anggota. Cuba anda sebut أَجْ dan أَطْ beberapa kali dan tahan dari berlaku qalqalah. Kemudian anda sebut pula dengan qalqalah. Anda akan faham. Konsepnya, pegang dan lepas.
3- Qalqalah bukan fathah, kasrah atau dhommah. Ianya hanya dekat dengan bunyi fathah mengikut pendapat paling kuat tetapi ia bukan fathah. Ia tiada pencampuran dan kaitan dengan harakat.
Hanif Azmir Hassim. Nibong Tebal. 7 Jun 2021.







Sabtu, 5 Jun 2021

𝗞𝗔𝗘𝗗𝗔𝗛 𝗤𝗔𝗟𝗤𝗔𝗟𝗔𝗛 𝗗𝗔𝗡 𝗞𝗛𝗜𝗟𝗔𝗙𝗡𝗬𝗔

 𝗞𝗔𝗘𝗗𝗔𝗛 𝗤𝗔𝗟𝗤𝗔𝗟𝗔𝗛 𝗗𝗔𝗡 𝗞𝗛𝗜𝗟𝗔𝗙𝗡𝗬𝗔

Saya pernah menyebut bahawa Qalqalah adalah lantunan bunyi. Ia adalah sifat syiddah(penahanan suara) yang akhirnya terpecah demi menzahirkan sifat Jahar (الشدة المنفجرة بالجهر). Jika tidak kerana qalqalah, nescaya tersembunyilah sifat Jahar yang terdapat pada huruf-huruf qalqalah iaitu Qaf, tho, ba, jim dan dal (قطب جد).
Nama lain bagi Qalqalah adalah Laqlaqah (لَقْلَقَةٌ). Ini disebutkan Syeikh Zakaria Al Ansori dalam Kitabnya Ad Daqaiq Al Muhkamah. Pun begitu, ada juga pendapat lain membezakan di antara Qalqalah dan Laqlaqah.
𝗞𝗔𝗘𝗗𝗔𝗛 𝗗𝗔𝗡 𝗞𝗛𝗜𝗟𝗔𝗙
Terdapat 4 pandangan ulama’ tentang cara dan kaedah qalqalah :
1- Cenderung kepada bunyi Fathah(baris atas). Ini adalah pendapat paling kuat dan inilah bacaan kita iaitu membunyikannya seolah-olah Taqlil kerana taqlil terletak di antara fathah dan Imalah. Untuk memudahkan kefahaman , ia seolah sebutan warga Kuala Lumpur. Masade (مَسَد ), Hathobe (حَطَب). Tetapi hati hati, ia bukan huruf baru tetapi ia adalah SIFAT bagi huruf Qalqalah.
2- Ada yang mengatakan ia cenderung ke arah baris kasrah (baris bawah). Cuba dengar bacaan Syeikh Ali Al ‘Ajmi. Bunyinya seolah-olah Hathobi حَطَب dan Masadi (مَسَد ).
3- Ada yang mengatakan ia mengikut baris huruf sebelumnya. Sebagai contoh kalimah (بِالصَّبْرِ). Maka qalqalahnya diarahkan kepada bunyi fathah kerana huruf Shod (huruf sebelum huruf qalqalah) berbaris fathah mengikut pendapat ini.
4 - Qalqalah mengikut baris huruf selepasnya seperti yang disebut pengarang Al ‘Amid fi ahkam At Tilawah wa At Tajwid iaitu Syeikh Mahmud bin ‘ali Bassah (W 1367H) Dan pengarang Juhd Al Muql iaitu Syeikh Muhammad Al Mar’asyi (W 1150 H). Sebagai contoh kalimah Bis Sobr (بِالصَّبْرِ). Maka mengikut pendapat ini, qalqalahnya akan mengarah ke arah bunyi kasrah kerana huruf Ra’ yang berbaris kasrah.
Rujukun : Nab’u Ar Rayyan fi Tajwid Kalam Ar Rahman karangan Syeikh Abu Al Haitsam Muhammad Ali Mathr dengan huraian dari penulis.
Mudah mudahan, ada kebaikan untuk semua. Jumaat 4 Jun 2021 Nibong Tebal