Ahad, 23 Mei 2021

Formula MAD LAZIM HARFI (مد لازم حرفي) Belajar Cara Membaca AlQuran M.s ...

𝐘𝐀 𝐌𝐀𝐃 𝐕𝐒 𝐘𝐀 𝐒𝐄𝐁𝐄𝐍𝐀𝐑

 𝐘𝐀 𝐌𝐀𝐃 𝐕𝐒 𝐘𝐀 𝐒𝐄𝐁𝐄𝐍𝐀𝐑

Ketika saya mengatakan, tengah lidah tidak boleh menyentuh lelangit atas ketika menyebut Ya Mad, seorang Ustazah Al Quran bertanya. “Saya baca, lidah sentuh lelangit Ustaz. Kenapa ya Ustaz?".
🔶 JAWAPAN:
1- Sebenarnya, kesalahan pembaca di sini ialah terlalu berlebihan mengangkat tengah lidah. Pembaca perlu bezakan sebutan ya mad seperti إِيمَانًا dengan ya bukan mad seperti إِيَّاكَ. Ketika menyebut ya mad (إِيمَانًا), tengah lidah terangkat tetapi tidak menyentuh lelangit adapun ketika menyebut ya bukan mad (إِيَّاكَ), tengah lidah akan terangkat dan akan berlaku sentuhan pada lelangit.
2- Ya Mad ialah ya mati dan sebelumnya huruf berbaris kasrah. Contohnya كِى, مِى , dan سِى . Selain itu, semuanya adalah ya bukan mad seperti ذَوَاتَىْ dan يَدْعُونَ .
3- Makhraj huruf ada dua. Makhraj Muhaqqaq yang menjadi tempat keluar semua huruf kecuali huruf Mad dan Makhraj Muqaddar yang menjadi tempat keluar tiga huruf mad. Ya mad adalah berada pada makhraj muqaddar.
🔹 Makhraj Muqaddar (مخرج مقدر) ini dita’rifkan di dalam Taisir Ar Rahman sebagai :
هُوَ الذى لَا يَعْتَمِدُ عَلَى جُزِءٍ مُعَيَّنٍ مِنْ أَجْزَاءِ الحَلْقِ أَوِ اللِّسَانِ أَوِ الشَّفَتَيْنِ وَلَا يَنْتَهِى فِى نُقْطَةٍ مُحَدَّدَةٍ بَلْ يَنْتَهِى بِانْتِهَاءِ هَوَاءِ الزَّفِيرِ ...
Ia adalah apa yang tidak berpasak pada bahagian tertentu samada dari kerongkong, lidah atau bibir dan ianya tidak terhenti pada satu titik yang terbatas. Bahkan ia terhenti dengan terhentinya hembusan udara.
🔶 HURAIAN TEKS :
Makhraj muqaddar ini ialah makhraj yang dikadarkan sahaja. yang tidak dapat ditentukan titik tepatnya.
▪Jika orang bertanya kita, “ di mana makhraj Ba’ secara tepatnya?”. Kita boleh jawab : “ dua bibir yang dirapatkan”.
▪Jika orang bertanya kita lagi , “ di mana makhraj Qaf secara tepat?”. Kita boleh jawab : “ di bahagian lelangit lembut iaitu apabila pangkal lidah menyentuhnya”.
▪Tetapi jika ditanya : “di mana makhraj ya mad secara tepat?”. Kita kelu. Kita hanya mampu sebut “rongga”. Tapi kita tidak mampu menyebut titik tepat makhrajnya kerana memang tiada titik tepat.
Maka oleh itu, menyebut ya mad seperti كِى, مِى , dan سِى dan mengenakan tengah lidah ke lelangit adalah salah. Ia telah mengubah ya mad menjadi ya sebenar. Ini kerana, telah berlaku perubahan dari makhraj muqaddar kepada makhraj muhaqqaq. Dari huruf jaufiyyah kepada syajriyyah.
KESIMPULAN :
Ya mad : tiada sentuhan tengah lidah pada lelangit.
Ya bukan mad : berlaku sentuhan ringan di atara tengah lidah dengan lelangit.
Wallahu A’lam. Hanif Azmir bin Hassim Nibong Tebal 23 Mei 2021


Soalan:Ustadz, nak tanya
😁
Utk huruf Ya ada sentuh lelangit? Saya perasan yg saya sebut tusgt dekat dgn lelangit tapi tak sentuh lagi..
Dan bolehkah saya fahamkan huruf ya pertengahan lidah diangkat lebih tinggi dari mad ya..

Jawapan: Huruf Syajriyyah ada tiga iaitu jim, syin dan Ya bukan mad.
Makhraj ketiganya ialah tengah lidah terangkat dan sentuh lelangit atas. Cuma ada beberapa beza. Antaranya tahap sentuhan.
Ya bukan mad seperti يوم dan يوقنون akhi, tengah lidah akan sentuh tetapi sangat ringan. Sama juga Syin, ada sentuhan tetapi ringan. berbeza dengan jim, sentuhannya kuat.
Justeru bila baca ya bukan mad, kita rasa macam lidah tak setuh sebab terlalu ringan sentuhannya

Sabtu, 22 Mei 2021

BERAPA JUMLAH SEBENAR TINGKATAN BACAAN?

 BERAPA JUMLAH SEBENAR TINGKATAN BACAAN?

Soalan ini pernah ditimbulkan seorang lepasan Shoubra, Mesir. Jadi saya tolong cari. Semoga ada manfaat terutama untuk guru-guru Al Quran.
Syeikh Aiman Ahmad Ahmad Said, Syeikh Muqri’ di Masjid Al Nabawi menyebutkan bahawa di dalam kitab-kitab tajwid hari ini disebutkan dua pendapat.
🔹 PENDAPAT 1 :
Terdapat tiga tingkatan iaitu Tartil, Hadar dan Tadwir.
🔹 PENDAPAT 2 :
Terdapat 4 tingkatan iaitu Tartil, Hadar, Tadwir dan ditambah satu iaitu Tahqiq.
Lalu katanya lagi, menyimpulkan :
والصَّوابُ إن شَاءَ اللَّهُ أَنَّ التَرْتِيلَ يُشْمِلُ التَّحْقِيقَ وَالحَدْرَ وَالتَّدْوِيرَ، فَكُلُّ مَنْ يَقْرَأُ بِهَذِهِ المَرَاتِبِ الثلَاثِ مُؤْتَمَرٌ بِقَوْلِهِ تَعَالىَ: ((وَرَتِّلِ القُرْآنَ تَرْتِيلًا)).
Yang benar In sya Allah bahawasanya tartil itu merangkumi tahqiq, hadr, dan tadwir. Maka setiap yang membaca dengan tingkatan yang tiga ini (tahqiq, hadr dan tadwir) adalah terhimpun pada firman Taala “ وَرَتِّلِ القُرْآنَ تَرْتِيلًا". Bacalah Al Quran dengan tartil.
🔶 KESIMPULAN
Saya berpendapat bahawa apa yang disebutkan Syeikh Aiman Ahmad Ahmad Said itu adalah pendapat yang paling tepat iaitu tingkatan bacaan hanya 3 iaitu tahqiq, hadr dan tadwir. Dan semua itu mencakupi makna tartil. Dalilnya:
◾1- Ia disebut sendiri oleh ulama’ yang dianggap sebagai ketua ulama’ al Quran iaitu Al Imam Ibnu Al Jazari di dalam kitabnya Toyyibah An Nasyr :
وَيُقْرَأُ الْقُرْآنُ بِالتَّـحْقِيقِ مَعْ حَدْرٍ وَتَدْوِيرٍ وَكُلُّ مُتَّبَعْ
مَعْ حُسْنِ صَوتٍ بِلُحُونِ الْعَرَبِي مُرَتَّلاً مُجَوَّداً بِالْعَرَبِي
Dan dibaca Al Quran itu dengan Tahqiq, bersama Hadr dan Tadwir, dan semuanya diikuti #
Bersama suara yang baik dengan lahjah arab secara tartil , bertajwid dan dengan Bahasa Arab #
◾2- Syeikh Ibrahim Muhammad al Jarmi menyebut : “ Kalaulah tartil dijadikan satu tingkatan yang lain, nescaya tahqiq, hadr dan tadwir tidak lagi dianggap tartil. Sedangkan semua bacaan Al Quran tidak dibaca melainkan dengan tartil”.
◾3- Kata sekumpulan Ulama' Jordan yang mengarang Al Munir fi ahkam At Tajwid secara berjemaah :
فَالتَّرْتِيلُ صِفَةٌ لِلقِرَاءَةِ المُلْتَزَمَةِ بِأَحْكَامِ التَّجْوِيدِ فِي جَمِيعِ هَذِهِ المَرَاتِبِ الثَّلَاثِ
Maka Tartil adalah sifat bagi bacaan yang dilazimi dengan (menjaga) hukum-hakam tajwid pada semua tingkatan yang tiga ini.
🔸Maksud : Para ulama’ ini berpendapat bahawa tartil adalah sifat bacaan bukan tingkatan bacaan.
🔸Huraian : Contohnya ada tiga kumpulan pelajar, kumpulan darjah satu, darjah dua dan darjah tiga. Mereka berbeza darjah tetapi semua mereka masih disifatkan sebagai kanak-kanak.
◾4- Ramainya ulama dan para pengarang kitab yang berpegang bahawa tingkatan bacaan hanya tiga iaitu tahqiq, hadr dan tadwir. Di antaranya Syeikh Ibrahim As Samannudi, Dr Aiman Suwaid, Dr. Suad Abdul Hamid, Syeikh Muhammad Mahmud Abdul 'Alim dan selain mereka.
Pun begitu, kita sangat menghormati pandangan ulama lain yang mengatakan bahawa tartil adalah salah satu martabat bacaan. Di antara mereka ialah Syeikh Usman bin Sulaiman Murad, Syeikh Mahmud Ra’fat Muhammad Zalth, Syeikh Kamil Muhammad Al Masiri dan selain mereka.
Hanif Azmir bin Hassim 20 Mei 2021 Nibong Tebal



Selasa, 11 Mei 2021

36 Surah Yaasin Ayat 01-70 M.s 440-444 Juz 22-23 Bacaan Al Quran Di Mas...

KEMULIAAN MENGAJAR KANAK-KANAK

 KEMULIAAN MENGAJAR KANAK-KANAK

Tiada istilah, “Mak cik tak larat dah Ustaz. Dah 20 tahun mengajar Al Quran di kampung ni. Bagi Ustazah-ustazah muda pula sambung ajar anak-anak ini”. Teruskan wahai guru Al Quran selagi kudrat masih ada. Biar malaikat menjadi saksi, engkau menghembus nafas yang terakhir sebagai guru al Quran.
Ada beberapa perkara menarik berkait tajuk ini yang disebut Imam Abu Al Laits As Samarkandi ( wafat 373 H) di dalam kitabnya berjudul Bustan Al ‘Arifin:
1- Kata Ibrahim An Nakhaie (wafat 96 H), ulama’ agung bumi Kufah : Pengajar kanak-kanak itu para Malaikat sentiasa memohon ampun baginya, begitu juga binatang di bumi, burung di udara dan ikan di lautan.
2- Dikatakan : Sesungguhnya seorang kanak-kanak, apabila dia masuk menemui para guru dan belajar membaca:
بسم الله الرحمن الرحيم
Maka Allah akan mengampunkan tiga jiwa : ayahnya, ibunya dan gurunya. Nasnya :
وَيُقَالُ : إِنَّ الصَّبِيَّ إِذَا دَخَلَ الكُتَّابَ وَتَعَلَّمَ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ غَفَرَ اللهُ بِذَلِكَ لِثَلَاثَةِ أَنْفُسِ : الأَبِ وَالأُمِّ وَالمُعَلِّمِ.
3- Sahabat Nabi yang mulia, Abu Said Al Khudri(wafat 63 H) berkata :
مَنْ عَلَّمَ ابْنَهُ أَوِ ابْنَتَهُ شَيْئًا مِنَ القُرْآنِ فَلَهُ بِكُلِّ دِرْهَمٍ أَعْطَاهُ لِلْمُعَلِّمِ وَزْنُ جَبَلِ أُحُدٍ, وَإِذَا خَرَجَ الصَّبِيُّ مِنْ بَيْتِهِ إِلَى الكُتَّابِ, يَكْثُرُ الخَيْرُ فِى بَيْتِ وَالِدِهِ وَيَقِلُّ الشَّرُّ فِيهِ وَيَهْرُبُ الشَّيْطَانُ مِنْهُ.
Siapa yang memberi didikan kepada anak lelakinya atau anak perempuannya sesuatu dari Al Quran, maka bagi setiap dirham yang dia berikan kepada guru seperti timbangan Gunung Uhud, Apabila apabila anaknya itu keluar dari rumah ke rumah para guru, maka bertambahlah kebaikan di dalam rumah ayahnya, dan sedikitlah keburukan dan larilah syaitan daripadanya.
4- Berkata Mufassir agung dari Basrah, Imam Hasan Al Basri (wafat 110H), sesiapa yang mengajarkan anaknya Al Quran, Allah akan memakaikannya tiga helai sutera syurga, yang setiap helaiannya lebih baik dari apa yang berasal dan berada di dunia.(Itu adalah ketika) manusia tidak berpakaian…
Ya Allah jemputlah kami sebagai pencinta dan guru Al Quran walau hanya kepada anak dan cucu sendiri.



Sabtu, 8 Mei 2021

TARJI’ DI DALAM TILAWAH DAN HUKUMNYA


TARJI’ DI DALAM TILAWAH DAN HUKUMNYA
Syeikh Abdul Rahman Sudais melakukan Tarji’ pada ولا الضالين. Syeikh Mahir Muaqili, Syeikh Yasir Ad Dusuri serta Qari-Qari Mujawwad Mesir seperti Al Marhum Syeikh Mustofa Ismail juga melakukannya bahkan hampir keseluruhan bacaan mereka diisi dengan Tarji'. Tetapi, anda perlu tahu, kebanyakan Ahli Quran Syiria sangat tidak sukakan Tarji’. Sehingga sebahagian mereka memberi fatwa bahawa semua ulama’ menolak Tarji’ (اتفق أهل الأداء على منع الترجيع). Persoalannya, apa itu Tarji’ ?.
TARJI’ DI DALAM BACAAN
Dr Nasir bin Suud Al Qutsami di dalam kitabnya Mafhum At Tarji’ menyebutkan pandangan Imam Ibnu Katsir tentang makna Tarji’:
التَّرْجِيعُ التَّرْدِيدُ فِى الصَّوْتِ
Tarji' : Turun naik (nada) suara.
Al Hamazani pula menyebutkan :
التَّرْجِيعُ تَكْرِيرُ الصَّوتِ بِالمَدِّ, رَجَّعَ الرُّجُلُ فِى قِرَاءَتِهِ إِذَا كَرَّرَ صَوتَهُ بِالمَدِّ.
“Tarji’ ialah menaik nurunkan nada ketika bertemu Mad. (dikatakan) lelaki itu mentarji’kan bacaannya apabila dia mengulang-ulang (merendah serta meninggi suara) pada mad ”.
Huraian : Mudahnya, TARJI’ ialah turun naik nada suara dan bunga-bunga suara.
DALIL TARJI’
Dalilnya yang paling kuat ialah hadis yang diriwayatkan Al Bukhari dari Abdullah bin Mughaffal yang berkata:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْفَتْحِ عَلَى نَاقَةٍ لَهُ يَقْرَأُ سُورَةَ الْفَتْحِ أَوْ مِنْ سُورَةِ الْفَتْحِ فَرَجَّعَ فِيهَا .
Kata Abdullah bin Mughaffal : Aku melihat Rasulullah pada hari pembukaan Mekah berada di atas untanya membaca Surah Al Fath dan melakukan tarji’ padanya.
Huraian : Suara Nabi dinaik dan diturunkan ketika membaca Surah Al Fath. Nabi membaca tidak hanya senada. Ini adalah untuk menjinakkan hati Musyrikin dengan bacaan Al Quran yang baik.
Sebahagian ulama’ tidak bersetuju hadis ini menjadi dalil Tarji’ . Mereka mengatakan bahawa, berlakunya tarji’ di sini adalah kerana goyangan unta. Bukan Nabi yang ‘menggoyangkan’ suaranya tetapi kerana kesan gegaran dari unta menyebabkan suara Nabi bergegar.
JAWAPAN :
Kita menolak pandangan ini kerana:
1- Terdapat hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah di dalam Musannafnya bahawa Ummu Hani’ RA mendengar Nabi membaca Al Quran di rumah dengan tarji’. Hadis ini dihasankan Syeikh al Albani. Jelas di sini, ketika berada di rumah pun Nabi melakukan Tarji’.
2- Ketika menafsirkan hadis Abdullah bin Mughaffal di atas, ramai ulama’ cenderung mengatakan Nabi memang melakukan Tarji’. Dr Nasir bin Suud Al Qutsami menyebut :
Ramai di kalangan Para ulama’ cenderung mengatakan bahawa Tarji’ yang terdapat di dalam Hadis membawa makna berlagu di dalam pembacaan, memperindahkan suara dan menghiasinya, melagukannya dan mengulang alikkannya di kerongkong dan ia adalah satu jenis dari jenis jenis berlagu yang diperintahkan atau satu sifat dari sifat-sifatnya dan Nabi memang sengaja melakukannya(bukan kerana goyangan unta).
Menguatkannya hadis riwayat An Nasaie di mana Abdullah bin Mughaffal berkata : “ Rasulullah membaca Surah al Fath pada hari pembukaan Mekah, dan aku tidak menemui satu bacaan yang lebih baik darinya, dia melakukan Tarji’”.
Dari apa yang saya telah huraikan, jelas bahawa Tarji’ adalah perkara yang baik dan sunnah Rasulullah. Pun begitu, nasihat saya untuk diri dan semua :
1- Pembaca perlu berhati-hati dan tidak berlebihan melakukan Tarji’ sehingga terlebih harakat. Jika ia berlaku, maka ia bertukar menjadi tarqish(الترقيص) yang dilarang.
2- Adalah lebih baik bacaan kita tidak terlalu berbunga bunga yang keterlaluan kerana itu ghuluw dalam bacaan.



Hanif azmir bin Hassim Nibong Tebal 3 Mei 2021