Ahad, 25 April 2021

IMAM AZ ZAHABI DAN QIRAAT

 IMAM AZ ZAHABI DAN QIRAAT

Al Imam Syamsuddin Abu Abdullah bin Muhammad Az Zahabi(748H) pengarang kitab Siyar A’lam An Nubala’ adalah Ulama’ hadis dan sejarah yang sangat terkenal. Pun begitu, perlu diketahui bahawa Ulama’ kelahiran Damsyiq,Syria ini juga sangat
hebat
dalam bidang Qiraat. Beliau telah bermusafir ke Mesir dan banyak negara untuk bertalaqqi.
Pada tahun 691 Hijrah, beliau telah bertalaqqi dengan Allamah Jamaluddin Abu Ishaq al ‘Asqalani yang terkenal dengan julukan Al Fadhili. Beliau membaca di hadapan gurunya bacaan Jama’ (menghimpunkan banyak qiraat dalam satu khatam). Sayangnya, Al Fadhili wafat sebelum pengkhatamannya.
Beliau kemudiannya membaca pula dengan Tholhah Ad Dumyathi sehingga khatam Jama’ atas jalan Ilm (الجمع على العلم). Kemudian menuju ke Ba’labakka bertalaqqi dengan Muwaffiq An Nashibi. Kemudian ke Iskandariah bertalaqqi dengan Sahnun dan Yahya bin Sowaf.
Di antara murid-muridnya ialah Ahmad bin Ibrahim At Thohhan, Ibrahim bin Ahmad As Syami dan Abi Al Ma’ali Muhammad bin Ahmad Al Lubban (guru Imam Ibnu Al Jazari).
🔶 Paling penting dan sangat menakjubkan, rupanya jumlah kitab karangan Imam Az Zahabi dalam bidang qiraat mencecah hampir kepada 100 buah. Di antara kitab Qiraat karangannya yang dicetak ialah Ma’rifatul Qurra’ Al Kibar ‘ala Thobaqaat wal A’shar yang dicetak Muassasah Ar Risalah di Beirut, Lubnan.
Rujukan : Ilmu Qiraat Nasy'atuhu, athwaruhu, Atsaruhu fi al Ulum As Syar ieyyah karangan Dr Nabil Ali Ismail.




Jumaat, 23 April 2021

وَلَا الضَّاۤلِّيْنَ JANGAN RAPAT BIBIR KETIKA INI.

 JANGAN RAPAT BIBIR KETIKA INI.


Ketika membaca وَلَا الضَّاۤلِّيْنَ di dalam Surah Al fatihah, ramai di kalangan kita yang tidak perasan kita sedang MERAPATKAN BIBIR ketika menyebut (وَلَا الض). Tepatnya ketika menyebut ‘ladh’ iatu ketika menyentuh makhraj ‘dhod’. Ini kurang tepat kerana :

1- Huruf 'Lam' sebelum 'dhod' berbaris fathah. Maka perlu dibuka bibir kecuali sesudah 'lam' ada huruf 'mim' (لَمْ) atau 'ba' (لَبْ). Ketika itu barulah dirapatkan bibir.

Adapun jika selepas 'lam'(dan semua yang berbaris fathah) tiada huruf 'mim' atau 'ba' , bibir tidak merapat penuh bahkan mesti terbuka. Cuba anda sebut لَنْ , لَسْ , dan لَقْ sebagai contoh. Pasti bibir tidak merapat.

2- Jika kita baca dengan merapatkan bibir, biasanya akan hilanglah sifat Rakhawah(suara terlepas) pada Dhod dan bertukar menjadi Syiddah(suara tertahan). Dan sifat istithalah padanya juga menjadi kurang sempurna.

3- Makhraj Dhod adalah dengan mengangkat dan mengenakan tebing lidah samada kiri atau kanan kepada gigi geraham di atasnya. Merapatkan bibir biasanya menyebabkan makhraj Dhod tidak tepat dan biasanya hujung lidah akan terkena pada belakang gigi depan atas. Sudah tentu ia bukan makhraj Dhod