Isnin, 7 Jun 2021

Formula Sifat Hamas (فَحَثَّهُ شَخْصٌ سَكَتْ) Belajar Membaca AlQuran M....

𝗞𝗘𝗦𝗔𝗟𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗤𝗔𝗟𝗤𝗔𝗟𝗔𝗛

 𝗞𝗘𝗦𝗔𝗟𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗤𝗔𝗟𝗤𝗔𝗟𝗔𝗛

Kesalahan ini banyak dilakukan masyarakat kita. Ini kerana, hanya yang teliti atau yang ditegur guru yang teliti akan menyedari. Cuba anda baca Surah Al Ikhlas.
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ
Samada ada kita sedar atau tidak, kadang kala, kita menutup suara huruf qalqalah dengan bunyi hamzah bukan dengan bunyi qalqalah yang tepat. Ketika itu, kita telah membawa suara ke makhraj hamzah iaitu di pangkal kerongkong. Maka jadilah bunyinya : أحدء, الصَّمدء, لَمْ يلدءdan seterusnya .
🔶Kata Dr Rihab Muhammad Mufid Syiqaqi, pengarang Hilyah At Tilawah :
“Antara kesalahan qalqalah …kedua : mengakhiri suara dengan hamzah. Maka kadang-kadang kita mendengar dari sebahagian pembaca baru, qalqalah dal bunyinya (أحدء) dan qaf bunyinya (الفلقء). Dan ini tidak betul selamanya, kerana ia adalah penambahan huruf pada kitab Allah”.
🔶 Untuk itu, pembaca perlu faham makna qalqalah dari sudut istilah. Pengarang Hilyah At Tilawah menyebut :
هِي إِخْرَاجُ الحَرْفِ المُقَلْقَلِ حَالَةَ سُكُونِهِ بِالتَّبَاعُدِ بَيْنَ طَرَفَيِ عُضْوِ النُّطْقِ دُونَ أنْ يُصَاحِبَهُ شَائِبَةُ حَرَكَةٍ مِنَ الحَرَكَاتِ الثَّلَاثِ (انفتاح للفم او انظمام الشفتين او انخفاض للفك السفلي).
Mengeluarkan huruf Qalqalah ketika sukunnya dengan 𝙢𝙚𝙣𝙟𝙖𝙪𝙝𝙠𝙖𝙣 𝙙𝙪𝙖 𝙝𝙪𝙟𝙪𝙣𝙜 𝙖𝙣𝙜𝙜𝙤𝙩𝙖 tanpa mengiringinya pencampuran harakat dari harakat yang tiga. (membuka mulut atau memuncungkan dua bibir atau menurunkan rahang bawah.)
HURAIAN :
1- Qalqalah adalah sifat yang berlaku ketika huruf qalqalah itu dimatikan.
2- Cara mengeluarkan 𝙝𝙪𝙧𝙪𝙛 𝙦𝙖𝙡𝙦𝙖𝙡𝙖𝙝 yang lima ialah dengan merapatkan dua anggota tetapi cara mengeluarkan 𝙦𝙖𝙡𝙦𝙖𝙡𝙖𝙝 adalah dengan menjauhkan dua anggota. Cuba anda sebut أَجْ dan أَطْ beberapa kali dan tahan dari berlaku qalqalah. Kemudian anda sebut pula dengan qalqalah. Anda akan faham. Konsepnya, pegang dan lepas.
3- Qalqalah bukan fathah, kasrah atau dhommah. Ianya hanya dekat dengan bunyi fathah mengikut pendapat paling kuat tetapi ia bukan fathah. Ia tiada pencampuran dan kaitan dengan harakat.
Hanif Azmir Hassim. Nibong Tebal. 7 Jun 2021.







Sabtu, 5 Jun 2021

𝗞𝗔𝗘𝗗𝗔𝗛 𝗤𝗔𝗟𝗤𝗔𝗟𝗔𝗛 𝗗𝗔𝗡 𝗞𝗛𝗜𝗟𝗔𝗙𝗡𝗬𝗔

 𝗞𝗔𝗘𝗗𝗔𝗛 𝗤𝗔𝗟𝗤𝗔𝗟𝗔𝗛 𝗗𝗔𝗡 𝗞𝗛𝗜𝗟𝗔𝗙𝗡𝗬𝗔

Saya pernah menyebut bahawa Qalqalah adalah lantunan bunyi. Ia adalah sifat syiddah(penahanan suara) yang akhirnya terpecah demi menzahirkan sifat Jahar (الشدة المنفجرة بالجهر). Jika tidak kerana qalqalah, nescaya tersembunyilah sifat Jahar yang terdapat pada huruf-huruf qalqalah iaitu Qaf, tho, ba, jim dan dal (قطب جد).
Nama lain bagi Qalqalah adalah Laqlaqah (لَقْلَقَةٌ). Ini disebutkan Syeikh Zakaria Al Ansori dalam Kitabnya Ad Daqaiq Al Muhkamah. Pun begitu, ada juga pendapat lain membezakan di antara Qalqalah dan Laqlaqah.
𝗞𝗔𝗘𝗗𝗔𝗛 𝗗𝗔𝗡 𝗞𝗛𝗜𝗟𝗔𝗙
Terdapat 4 pandangan ulama’ tentang cara dan kaedah qalqalah :
1- Cenderung kepada bunyi Fathah(baris atas). Ini adalah pendapat paling kuat dan inilah bacaan kita iaitu membunyikannya seolah-olah Taqlil kerana taqlil terletak di antara fathah dan Imalah. Untuk memudahkan kefahaman , ia seolah sebutan warga Kuala Lumpur. Masade (مَسَد ), Hathobe (حَطَب). Tetapi hati hati, ia bukan huruf baru tetapi ia adalah SIFAT bagi huruf Qalqalah.
2- Ada yang mengatakan ia cenderung ke arah baris kasrah (baris bawah). Cuba dengar bacaan Syeikh Ali Al ‘Ajmi. Bunyinya seolah-olah Hathobi حَطَب dan Masadi (مَسَد ).
3- Ada yang mengatakan ia mengikut baris huruf sebelumnya. Sebagai contoh kalimah (بِالصَّبْرِ). Maka qalqalahnya diarahkan kepada bunyi fathah kerana huruf Shod (huruf sebelum huruf qalqalah) berbaris fathah mengikut pendapat ini.
4 - Qalqalah mengikut baris huruf selepasnya seperti yang disebut pengarang Al ‘Amid fi ahkam At Tilawah wa At Tajwid iaitu Syeikh Mahmud bin ‘ali Bassah (W 1367H) Dan pengarang Juhd Al Muql iaitu Syeikh Muhammad Al Mar’asyi (W 1150 H). Sebagai contoh kalimah Bis Sobr (بِالصَّبْرِ). Maka mengikut pendapat ini, qalqalahnya akan mengarah ke arah bunyi kasrah kerana huruf Ra’ yang berbaris kasrah.
Rujukun : Nab’u Ar Rayyan fi Tajwid Kalam Ar Rahman karangan Syeikh Abu Al Haitsam Muhammad Ali Mathr dengan huraian dari penulis.
Mudah mudahan, ada kebaikan untuk semua. Jumaat 4 Jun 2021 Nibong Tebal



KENAPA 2 HARAKAT DENGUNG LEBIH PANJANG DARIPADA 2 HARAKAT MAD

 “KENAPA 2 HARAKAT DENGUNG LEBIH PANJANG DARIPADA 2 HARAKAT MAD?”

Bismillah. Kebiasaannya saya hanya menjawab soalan2 berkaitan tajwid dan qiraat hanya di story Instagram kerana lebih selesa dengan audience yang kebanyakannya pemuda2 seusia saya, dan kerana di Facebook pula dah terlampau ramai asatizah2 kita yang pakar. Saya dah lama juga rasa nak menulis di FB tetapi rasa kurang yakin dan terlalu inferior dengan pakar2 kita yang menghalang diri saya. Tapi hari ini saya dengan rendah diri minta keizinan dari para mashaikh semua untuk cuba belajar menulis di FB pula. Barakallahu fiikum.
Baik, kembali kepada tajuk. Sebelum kita menjawab persoalan ini, terlebih dahulu harus kita ketahui bahawa sebenarnya, mengira kadar dengung/ghunnah dengan kiraan harakat ini tidak pernah diperkatakan oleh para ulama’ tajwid yang terdahulu, sebaliknya ia adalah pendapat yang sangat terkemudian dan sesuatu yang sangat baharu di dalam kitab2 tajwid. Konsep mengukur kadar ghunnah dengan istilah harakat ini hanya ditemui lebih kurang 300 tahun dahulu, dipelopori oleh al-Imam Muhammad bin Abi Bakr al-Mar’ashi (w.1145h) di dalam kitabnya “Juhd al-Muqill”, dan perkara ini juga diperakui oleh al-Mar’ashi dalam kitab tersebut bahawa beliau sendiri tidak pernah menemui mana2 karangan ulama’ sebelumnya yang mengukur kepanjangan ghunnah dengan ukuran harakat.
Seterusnya pendapat ini diteruskan oleh para ulama’ selepas beliau seperti al-Imam al-Darkazliyy (w.1327h), Sheikh Muhammad Makki Nasr al-Juraysi, dan kebanyakan ulama’ tajwid yang muncul di zaman ini akhirnya mengikuti kaedah mengukur ghunnah dengan harakat. Akan tetapi, metod ini dikritik dan tiada sumbernya dari kitab2 tajwid yang terdahulu.
Jadi, bagaimanakah para ulama’ tajwid yang terdahulu (mutaqaddimin) mengukur kepanjangan dengung? Bagaimanakah mereka membeza-bezakan nun bersabdu, ikhfa’ shafawi, iqlab dan lain2 jenis dengung?
Kalau kita lihat semula karangan2 ulama’ tajwid yang terdahulu semisal al-Imam Abu Amru al-Dani (w.444h), al-Imam al-Jaabari (w.732h), al-Imam ibn al-Jazari (w.832h), al-Imam al-Mizzi (w.906h) dan Sheikh al-Islam Zakariyya al-Ansari (w.926h), kesemua mereka berpegang bahawa dengung ini terbahagi kepada 4 peringkat, iaitu;
1. Paling sempurna (أكمل) :
- Ianya adalah dengung yang terdapat pada nun dan mim yang bersabdu, seperti kalimah [(إِنَّ), (ثُمَّ)] dan juga pada nun dan mim yang diidghamkan seperti kalimah [(إِن نَّحْنُ) , (وَإن مِّن), (فَمَن يَعْمَلْ)]
2. Sempurna (كاملة)
- Dengung yang terdapat pada nun dan mim mati yang diikhfa’kan (ikhfa’ hakiki & syafawi, serta iqlab) seperti kalimat [(أَن بُورِكَ) , (الْإِنسَان) , (تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ)]
3. Kurang sempurna (ناقصة)
- Dengung atau sifat ghunnah yang sedia ada terdapat pada nun dan mim yang diizharkan (izhar halqi & syafawi) seperti kalimat [(سَمِيعٌ عَلِيمٌ) , (أَنْعَمْتَ)]
4. Paling kurang sempurna (أنقص)
- Dengung atau sifat ghunnah yang sedia ada pada nun dan mim yang berbaris. Seperti kalimah (إِيمَانُكُم)
Ada sepotong ayat al-Quran yang menghimpunkan kesemua kategori ghunnah ini, iaitu pada firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 91 : (إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ)
Kita dapat lihat bahawa nun dan mim yang bersabdu dan diidghamkan paling sempurna (أكمل) suara dengungnya berbanding nun dan mim yang diikhfa’kan, dan huruf2 yang diikhfa’kan pula lebih sempurna (كاملة) suara dengungnya berbanding huruf2 yang diizharkan, dan huruf2 yang diizharkan pula kurang sempurna (ناقصة) suara dengungnya, manakala nun dan mim yang berbaris paling tidak sempurna (أنقص) suara dengungnya. Kategori ناقصة dan أنقص ini hanyalah sekadar menzahirkan sifat ghunnah yang sedia ada pada nun dan mim tanpa sebarang pertambahan pada kadarnya.
Ghunnah yang disebut sebagai أكمل dan كاملة pula adalah ghunnah yang mempunyai pertambahan pada kadar kepanjangannya dan kedua2nya berkongsi kadar kepanjangan yg sama, tetapi kadar ghunnah ini bergantung kepada kadar kelajuan bacaan sama ada tahqiq, tadwir atau hadr. Perkataan yang sama akan didengungkan dengan kadar yang berbeza mengikut kelajuan bacaan, jadi ghunnah ketika kita membaca al-Quran dengan martabah tahqiq akan lebih panjang berbanding ketika kita membaca dengan tadwir, dan begitu jugalah perbandingannya antara tadwir dengan hadr.
Kesimpulan daripada perbincangan ini, ghunnah tidaklah diukur dengan harakat, seterusnya kaedah mengukur kepanjangan ghunnah dengan kadar 2 harakat adalah kurang tepat dan dikritik kerana banyak sebab, antaranya;
- Pendapat ini hanya datang daripada ulama’ mutaakkhirin
- Mengira kadar ghunnah dengan kadar 2 harakat tidak akan dapat diseragamkan dengan 3 maratib tilawah iaitu tahqiq, tadwir dan hadr.
- Mengira kadar ghunnah dengan 2 harakat yang lazimnya dikiaskan dengan membuka atau menutup jari terdapat kekurangan, kerana ia akan menghasilkan natijah yang berbeza mengikut umur dan lapisan masyarakat (Kanak2 - Pemuda - Lelaki - Perempuan - Orang Tua)
- Harakat hanya digunakan pada mad dan bukan pada ghunnah.
Dan kerana ini jugalah, kalau kita cuba meneliti bacaan para Qurra’ teragung dunia, kita akan dapati kadar ghunnah yang dilakukan oleh al-Marhum Sheikh Mahmud Khalil al-Husary misalnya sangat panjang hingga melebihi 2 harakat, dan kadar ghunnah al-Marhum Sheikh Abdelbasit Abdelsamad lebih panjang kadarnya berbanding Sheikh Husary, dan begitulah kita akan dapati perbezaan dalam banyak rakaman2 al-Quran. رحم الله الجميع.
والله أعلم. وصلى الله وسلم وبارك على نبينا محمد وعلى آله وأصحابه. والحمد لله رب العالمين.

Syazani Jemy(محمد شازاني بن جيمي)

Melaka,
5 Jun 2021, 10.47 am.
Rujukan;
-Sheikh Farghali Sayed Arbawi, komentarnya dalam kitab Sharh al-Shatibiyyah lil-Imam al-Suyuti yang ditahqiq oleh beliau.